“Saya Nakal, Tapi Tak Tubuh Parti Baharu” – KJ Sindir Kesetiaan Rafizi

KEMPAS: Tindakan beberapa bekas pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menubuhkan parti baharu atau membawa haluan sendiri jelas membuktikan wujud kekecewaan yang mendalam terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, situasi itu jauh berbeza dengan dirinya yang memilih untuk kekal setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) meskipun pernah berdepan tindakan disiplin sebelum ini.

Membuat perbandingan senario politik antara Anwar dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khairy menjelaskan bahawa Anwar kini kehilangan ‘orang kanan’ yang paling lama memperjuangkan agendanya sejak tahun 1998.

“Datuk Seri Anwar hilang orang kanan. Orang kanan kecewa dengan Datuk Seri Anwar. Kecewa sampai tahap tubuhkan parti baru, lawan Pakatan Harapan.

“Maknanya apa? Maknanya Rafizi is so disappointed with Anwar, tubuhkan parti baru. Saya boleh datang balik lagi sebab saya percaya kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas di Taman Chempaka, malam ini.

Mengulas lanjut, Khairy menyifatkan kepulangannya ke pangkuan UMNO adalah bukti kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi parti, berbeza dengan pendekatan pimpinan lawan yang memilih untuk keluar dan membina wadah baharu apabila timbul konflik.

“Datuk Seri Zahid, hilang orang kanan, KJ… sebab KJ nakal. Sebab KJ nakal! Tapi KJ tak pergi mana-mana, KJ tak tubuhkan parti mana-mana, KJ kembali kepada Datuk Seri Zahid, tuan-tuan!” seloroh beliau yang disambut sorokan gemuruh para penyokong yang hadir.

Dalam pada itu, Khairy turut menyeru para pengundi dan penyokong PH di kawasan berkenaan untuk menilai semula kredibiliti gabungan tersebut dengan merujuk kepada kritikan-kritikan terbuka yang pernah dilemparkan oleh Rafizi sendiri terhadap Anwar sebelum ini.

“Kalau nak tahu ke tidak, tuan-tuan dan puan-puan, PMX ini boleh pakai ke tidak, pergi dengar ceramah saudara Rafizi. Saudara Rafizi memperjuangkan Anwar sejak tahun 1998, jadi Timbalan Presiden, orang kanan kepada Anwar Ibrahim.

“Sekarang ini dia tampil untuk menyatakan bahawa reformasi sudah mati, jangan sokong Pakatan Harapan,” dakwa beliau lagi.

BBerkaitan

Latest articles