Perkhidmatan Parlimen Perlu Kekal Bebas, Profesional – Azalina

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perkhidmatan Parlimen bukan sekadar membabitkan pewujudan satu lagi struktur pentadbiran, sebaliknya bertujuan memperkukuh keupayaan institusi Parlimen melaksanakan peranan perlembagaannya demi kepentingan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkhidmatan Parlimen yang mula berkuat kuasa bersama pindaan perlembagaan berkaitan pada 1 Oktober 2026 merupakan sebahagian daripada evolusi berterusan demokrasi berperlembagaan Malaysia.

Menurut beliau, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] mengembalikan Perkhidmatan Parlimen sebagai perkhidmatan berasingan dalam kerangka yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Dengan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 kini berkuat kuasa, kita telah beralih daripada perbahasan kepada pelaksanaan.

“Soalan yang lebih tepat ialah, apakah jenis Parlimen Malaysia yang ingin kita bina?” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azalina berkata, Parlimen moden memerlukan pegawai yang mempunyai kepakaran khusus dalam undang-undang perlembagaan dan Parlimen, penggubalan undang-undang, penyelidikan dasar, pentadbiran jawatankuasa, penelitian kewangan serta amalan Parlimen antarabangsa.

Malah, katanya, keperluan itu turut meliputi bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan tadbir urus digital.

“Parlimen tidak akan dapat meneliti tindakan Eksekutif secara berkesan jika tidak mempunyai keupayaan pentadbiran, kepakaran profesional dan sumber yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Perkhidmatan Parlimen berperanan menyokong Ahli Parlimen dan Senator dalam melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk membahaskan undang-undang, menilai dasar kerajaan, meneliti perbelanjaan awam, menyertai jawatankuasa pilihan khas dan mewakili jutaan rakyat Malaysia.

Menurutnya, Akta Perkhidmatan Parlimen turut mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang bertanggungjawab terhadap urusan pelantikan, pengawasan kewangan dan pembangunan kakitangan.

Keanggotaan majlis itu, katanya, merangkumi wakil daripada kedua-dua Dewan termasuk Ahli Dewan Rakyat daripada pihak Kerajaan dan pembangkang.

“Ini memberikan asas pentadbiran yang praktikal kepada prinsip autonomi Parlimen.

“Namun, kebebasan Parlimen tidak boleh disamakan dengan kebebasan daripada akauntabiliti. Autonomi Parlimen tidak bermakna Parlimen berada di atas Perlembagaan,” katanya.

Azalina menjelaskan, pegawai Parlimen masih tertakluk kepada standard profesional, manakala dana awam perlu diuruskan dengan kawalan yang sewajarnya.

Pada masa sama, kerajaan kekal bertanggungjawab di bawah Seksyen 12 Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menyediakan peruntukan tahunan yang mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen.

Beliau berkata, walaupun Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mempunyai pendirian berbeza, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada institusi yang sama iaitu Parlimen.

“Justeru, institusi Parlimen, kemudahan, kapasiti penyelidikan, sokongan jawatankuasa dan perkhidmatan pentadbiran perlu secara keseluruhannya memberi khidmat kepada seluruh Parlimen.

“Perkhidmatan Parlimen yang profesional juga mesti mengekalkan sikap berkecuali dari segi politik.

“Kesetiaannya hendaklah ditujukan kepada institusi dan Perlembagaan, bukannya mana-mana gabungan politik yang membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, Parlimen yang lebih kukuh tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang menyukarkan pentadbiran kerajaan.

Katanya, penelitian yang berkesan boleh membantu memperbaiki kualiti pentadbiran, termasuk dalam aspek penggubalan undang-undang, pembangunan dasar dan penggunaan dana awam.

“Penelitian Parlimen bukan musuh kepada kerajaan yang berkesan, sebaliknya ia merupakan salah satu mekanisme perlindungannya.

“Ujian sebenar adalah sama ada Perkhidmatan Parlimen dapat berkembang menjadi sebuah institusi profesional yang mampu menyokong kerja Parlimen untuk generasi akan datang,” katanya.

Azalina turut menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya hanya berinteraksi dengan Parlimen apabila pilihan raya semakin hampir kerana Parlimen berfungsi untuk mereka setiap hari.

Menurutnya, reformasi institusi perlu mampu bertahan melangkaui kitaran politik kerana kerajaan, gabungan politik, parti pembangkang dan Ahli Parlimen boleh berubah, namun institusi Parlimen kekal.

“Reformasi institusi perlu distrukturkan supaya dapat bertahan melangkaui kitaran politik.

“Kerangka Perkhidmatan Parlimen seharusnya dinilai secara bebas daripada penerima manfaat politik semasa,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan reformasi berkenaan tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan pewujudan struktur pentadbiran baharu, sebaliknya berdasarkan sejauh mana Parlimen menjadi lebih profesional, berkesan, telus dan dipercayai rakyat.

“Independensi institusi sahaja tidak menjamin Parlimen yang lebih baik. Kebebasan mesti membawa kepada peningkatan keupayaan, yang seterusnya menghasilkan penelitian lebih menyeluruh.

“Penelitian itu pula perlu membawa kepada perundangan dan tadbir urus yang lebih baik, yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, pemulihan Perkhidmatan Parlimen memberi peluang untuk membina sebuah Parlimen yang mampu melakukan penelitian tanpa rasa takut, membuat pertimbangan berasaskan bukti, menggubal undang-undang dengan teliti serta memastikan Eksekutif bertanggungjawab.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas arahan dan kepimpinan dalam memajukan reformasi berkenaan, selain berterima kasih kepada Yang Dipertua kedua-dua Dewan Parlimen, menteri Kabinet, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, Senator, pegawai Parlimen serta penjawat awam atas sokongan dan sumbangan mereka.

“Permulaan Akta Perkhidmatan Parlimen serta pindaan perlembagaan berkaitan pada 1 Oktober 2026 bukan sekadar perubahan pentadbiran, tetapi merupakan sebahagian daripada evolusi berterusan demokrasi berperlembagaan Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles