Lebih 6,000 Tapak Sampah Haram Ditutup Dalam Tempoh Tiga Tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak lebih 6,000 tapak pelupusan sampah haram berjaya ditutup di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun menerusi tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha membanteras kegiatan itu akan diteruskan bagi memastikan kawasan persekitaran negara sentiasa bersih dan terpelihara.

Menurutnya, SWCorp turut berjaya menutup kira-kira 3,600 tapak pelupusan sampah haram sepanjang tahun lalu.

“Pengurusan sisa pepejal merupakan satu agenda utama untuk kita pastikan negara kita sentiasa bersih supaya rakyat sejahtera.

“Untuk makluman, tahun lepas sahaja SWCorp telah berjaya menutup 3,600 tapak pelupusan sampah haram,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas tindakan terhadap pihak yang terlibat, Nga berkata, individu yang didapati menjalankan aktiviti sindiket tapak pelupusan sampah haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM100,000 jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya, SWCorp turut diperkasakan menerusi perolehan lebih 100 motosikal bagi membolehkan anggota penguat kuasa menjalankan operasi dan serbuan di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan perintah khidmat masyarakat sebagai antara langkah meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan berkaitan pembuangan sampah.

“Setakat pagi ini, lebih 17,000 kompaun telah dikeluarkan, manakala hampir 2,000 orang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman khidmat masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Roslan membangkitkan isu kewujudan kawasan pembuangan sampah haram yang didakwa digunakan sindiket dan kontraktor bagi mengelakkan bayaran di tapak pelupusan sampah yang sah.

Beliau turut meminta kementerian menjelaskan perancangan kerajaan untuk memperluas amalan kitar semula dan menjadikan sisa pepejal sebagai sumber ekonomi, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara luar.

BBerkaitan

Latest articles