KPDN, JAIS Siasat Premis Sembelihan Ayam Disyaki Langgar Hukum Syarak

KUALA LUMPUR: Penggunaan logo halal pada produk ayam yang disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak bakal berdepan tindakan tegas sekiranya didapati berlaku penyelewengan, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini menjalankan siasatan terhadap premis terbabit di Puchong.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan kementeriannya tertumpu kepada aspek penandaan halal pada produk yang dipasarkan di peringkat runcit bagi memastikan ia benar-benar bersumberkan produk halal.

Menurutnya, KPDN akan meneliti kesahihan penggunaan penandaan halal berkenaan sebelum menentukan tindakan lanjut terhadap pihak yang terbabit.

“Jadi, kalau ada perihal dagangan yang palsu, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Tealive Sparkling Crafted Tea – Prebiotic Soda di sini.

Pada 3 November lalu, JAIS memaklumkan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Daerah dan Tanah berhubung pemilik sebenar premis serta syarikat yang mengendalikan operasi penyembelihan ayam berkenaan.

Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, berkata premis itu dipercayai mempunyai kaitan dengan lebih daripada satu syarikat atau entiti berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada individu ditahan.

Serbuan pada 30 Oktober lalu menyaksikan 12 individu dipercayai pekerja warga Bangladesh dan Pakistan dikesan sedang melakukan penyembelihan ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak.

Siasatan awal mendapati ayam berkenaan dipercayai disembelih selepas mati akibat proses renjatan air menggunakan arus elektrik yang melebihi kadar voltan dibenarkan.

Dalam perkembangan berasingan, Armizan berkata kerajaan terus memantau risiko gangguan rantaian bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik di Eropah dan Asia Barat.

Beliau berkata, penyelarasan antara pelbagai pihak melalui mekanisme sedia ada setakat ini berjaya memastikan bekalan negara tidak berdepan gangguan serius.

Katanya, pendekatan sama akan terus digunakan bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat mencukupi sepanjang musim tengkujuh.

“Kita akan aktifkan semua platform yang ada ini untuk memastikan rakyat kita tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles