MERSING: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyelar kenyataan dan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menganggap negeri-negeri bergantung sepenuhnya kepada pentadbiran pusat.
Menurut beliau, kewujudan Kerajaan Persekutuan sendiri adalah hasil persetujuan negeri-negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa menerusi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 serta Perjanjian Malaysia 1963.
Sanusi berkata, adalah tidak tepat jika timbul tanggapan bahawa negeri hanya mampu bertahan dengan ihsan Kerajaan Persekutuan atau bergantung kepada keputusan Perdana Menteri.
“Hari ini selepas dapat kuasa pada negeri-negeri, dia rasa seolah-olah negeri ini semua tumpang dia. Kedah tumpang Persekutuan, Johor tumpang, Perak tumpang, Pahang tumpang, Terengganu tumpang dia.
“Kalau dia tak bagi, semua negeri lingkup. Hang ada sebab ada negeri. Kena sedar. Kerajaan Persekutuan ada sebab kuasa itu diserah oleh negeri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di Dataran Mersing Kanan, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan serta penyaluran peruntukan kepada negeri merupakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya satu bentuk ihsan atau ganjaran politik bagi meraih sokongan rakyat.
Katanya, mana-mana kerajaan yang mentadbir Putrajaya wajib melaksanakan tugas tersebut tanpa mengaitkannya dengan kepentingan parti.
“Bila diberi kuasa, itu tanggungjawab. Apa yang dibuat itu kewajipan, bukan kebaikan, bukan sukarela dan bukan kerana hendak suruh orang pilih parti tertentu.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri pun saya kena buat perkara yang sama kerana itu tanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sanusi mendakwa Anwar bersama beberapa anggota Kabinet terlalu kerap turun padang sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga menggambarkan seolah-olah pertandingan itu melibatkan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, bukannya antara parti-parti politik.
Beliau berpendapat kempen pilihan raya sepatutnya berlangsung atas kapasiti parti yang bertanding dan bukan dengan membawa kelebihan jawatan dalam kerajaan.
“Dia mai janji macam-macam dengan orang Johor. Dia bawa nama Kerajaan Persekutuan. Dia tak boleh guna sebenarnya Kerajaan Persekutuan itu. Pilihan raya ini parti lawan parti.
“Saya datang malam ini atas nama Perikatan Nasional. Saya bukan datang bawa Kerajaan Kedah. Kita lawan parti dengan parti, baru ‘gentlemen’,” katanya.










