Sanusi Beri Tempoh 7 Hari Kepada Nga Kor Ming, Dua Individu Buat Permohonan Maaf

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi tempoh tujuh hari kepada Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dan dua lagi individu untuk membuat permohonan maaf berhubung dakwaan memutar belit kenyataannya dalam satu ceramah politik di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Muhammad Sanusi berkata Surat Tuntutan (LOD) telah dihantar kepada Nga, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Salim Abd Rahman hari ini, manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim dijangka menerima surat berkenaan esok.

Beliau menegaskan sekiranya kesemua individu terbabit gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang di mahkamah akan diteruskan melalui peguamnya.

“Ada lagi senarai nama yang panjang. Mereka yang memesongkan fakta, menokok tambah, memutar belit dan mengambil kesempatan memusingkan kenyataan saya akan menerima LOD.

“Kita beri tempoh tujuh hari untuk mereka memohon maaf dan berhubung dengan peguam saya. Jika tidak, kita akan bicara (di mahkamah),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata sebelum ini beliau turut menyerahkan LOD atas isu sama kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Sementara itu, mengulas mengenai rakaman keterangan oleh pihak polis berhubung ceramah berkenaan, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat yang hadir merekodkan kenyataannya di Alor Setar, Ahad lepas.

“Polis tahu saya sibuk. Mereka datang ambil keterangan di Alor Setar dan saya tiada masalah beri kerjasama. Saya jawab semua soalan berdasarkan fakta semasa… apa yang ada, ada, apa yang tiada, tiada, tak boleh tokok tambah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles