Salahuddin Sahabat Yang Teguh Dalam Perjuangan Hingga Ke Akhir Hayat

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja ahli keluarga, bahkan sahabat rapat dan teman seperjuangan politik merasai pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir jam 9.23 malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memaklumkan dirinya amat terkesan dengan khabar sedih ini.

Menerusi ciapan di Twitter, Anwar menyifatkan Ahli Parlimen Pulai itu sebagai seorang sahabat politik yang teguh dalam perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang panjang sebelum ini hingga ke akhir hayatnya.

“Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga seorang sahabat yang setia Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah SWT hari ini.

“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” katanya Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Salahuddin menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, jam 9.23 malam ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, Nur Syakirin Husnal dalam satu kenyataan, jam 10 malam tadi.

Untuk rekod pada Jumaat lalu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar hospital berkenaan.

Salahuddin kemudiannya menjalani pembedahan di hospital sama pada pagi semalam.

“Berehatlah, sahabatku.

“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” kata Anwar.

BBerkaitan

Latest articles