More

    Reman Terhadap Ibu Kandung, Bapa Tiri Mangsa Dera Dilanjutkan

    Tempoh tahanan reman selama tujuh hari dilanjutkan ke atas ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki tujuh tahun, yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini, minggu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, tempoh tahanan reman pasangan suami isteri itu yang berakhir hari ini, telah dilanjutkan sehingga 12 Feb depan, bagi melengkapkan siasatan.

    “Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Anuar Ostadi di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Untuk rekod 29 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun, di Taman Krubong Jaya.

    Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

    Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin, kira-kira 12.40 tengah hari Isnin lepas.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini