UMNO, PAS Bakal Anjur Himpunan Perpaduan Ummah Himpun Sejuta Ahli

​KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS bakal mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah secara bersama dengan sasaran untuk menghimpunkan sekurang-kurangnya satu juta umat Islam di seluruh negara.

​Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada pengukuhan kerangka kerjasama dan tafaham siasa kedua-dua parti yang berteraskan perpaduan ummah.

​”Saya mengucapkan terima kasih di atas kehadiran wakil-wakil kepimpinan Pas yang telah datang mengikuti ucapan dasar Presiden. Saya menterjemahkan bahawa ia merupakan isyarat positif bahawa ruang persefahaman sedang terbuka dengan seluas-luasnya.

​”Hubungan ini perlu diperkukuhkan dan bukan sekadar atas pertimbangan politik, tetapi demi perpaduan ummah. Insya-Allah kita akan terbuka untuk mengadakan tafahum siyasi dengan mereka,” katanya.

​Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

​Ahmad Zahid memberi mandat penuh kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menggerakkan penganjuran himpunan mega tersebut selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada perwakilan yang hadir.

​”Kedua-dua parti bekerjasama bagi mengadakan himpunan perpaduan ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam.

​”Dengan ini saya mohon persetujuan untuk kita memberikan mandat kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menggerakkan. Siapa bersetuju kata setuju… lebih suara bersetuju. Akmal, abang berikan mandat,” ujar beliau.

​Menjelaskan lanjut, Ahmad Zahid memberitahu gerakan siri jelajah akan dimulakan dari negeri ke negeri sebelum kemuncaknya melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat.

​Beliau menggesa seluruh jentera Pemuda, Wanita, dan Puteri UMNO memberi sokongan penuh bagi memastikan gerakan bersama itu tersusun serta berterusan.

​”Menghormati apa yang Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) cadangkan tadi untuk menguji kesetiaan dan kejujuran mereka, kita ‘test’ mula-mula di Terengganu dan Kelantan serta Kedah. Untuk Perlis… Perlis berbeza sikit, saya serahkan pada Tok Ben untuk menguruskannya.

​”Semoga kerjasama atau kefahaman ini dapat kita sama-sama bina atas asas saling menghormati, tidak khianat, melaksanakan kejujuran demi kepentingan ummah keseluruhannya,” katanya.

​Tambah beliau, perpaduan tersebut tidak bermakna kedua-dua parti menjadi sama, sebaliknya perlu matang mencari titik penyatuan menghadapi pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

BBerkaitan

Latest articles