KUALA LUMPUR: Berita gembira buat penuntut pengajian tinggi daripada golongan B40 apabila kerajaan mengarahkan penyediaan tiket penerbangan percuma bagi pelajar dari Semenanjung yang menuntut di Sabah dan Sarawak, serta sebaliknya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengusahakan inisiatif berkenaan bersama pihak universiti.
“Mengenai isu tiket kapal terbang yang tinggi untuk pelajar, saya telah mengarahkan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengarahkan universiti-universiti bagi menyediakan tiket percuma untuk pelajar-pelajar B40.
“Itulah gunanya kita ada Menteri UMNO,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, langkah itu turut disokong oleh kepimpinan negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.
“Saya telah mengarahkan semua Menteri Besar Johor, Negeri Sembilan, Ketua Menteri Melaka, Pahang dan Perak untuk mengeluarkan tiket percuma kepada pelajar-pelajar B40 daripada negeri-negeri berkenaan yang belajar di Sabah dan Sarawak.
“Itu baharu namanya Presiden yang jaga anak buah. Kita berikan penghargaan kepada semua yang telah menerima arahan tadi,” ujar beliau.
Selain isu tiket penerbangan pelajar, Ahmad Zahid turut menyentuh beberapa usulan dan pandangan jurucakap perwakilan serta sayap parti sepanjang persidangan berlangsung.
Antaranya termasuklah sokongan terhadap usaha menangani isu kebajikan pesawah di Kedah dan Perlis, penyediaan talent bank kepimpinan wanita, serta pengesahan cadangan Pemuda UMNO untuk menterjemahkan rumusan ‘Rundingan Meja Bulan Pemuda 3.0’ ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) akan datang.










