Remaja Lembam Tingkatan Dua Mengaku Salah Amang Seksual, Rogol Sepupu

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar hari ini, atas pertuduhan amang seksual dan rogol terhadap sepupunya dalam kejadian pada Julai dan Ogos lepas.

Tertuduh, yang juga seorang OKU lembam mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya berusia 13 tahun pada Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan mengikut Seksyen 14 akta sama.

Tuduhan kedua pula mendakwa dia merogol mangsa sama di rumah berlainan dalam satu kejadian dilaporkan berlaku pada 12 tengah hari, 21 Ogos lepas, menurut Harian Metro.

Bagi kesalahan ini, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 23 Jan untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Dalam pada itu, bapa kepada mangsa cabul dan rogol didenda RM800, dengan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya, selepas mengaku salah menggunakan kekerasan terhadap tertuduh.

Jurukimpal berusia 49 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

BBerkaitan

Latest articles