Sultan Nazrin Tegur Salah Urus Wakaf, Aset Terbiar Jejas Amanah Pewakaf

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan pengurusan institusi wakaf yang disifatkan mampu menghakis kepercayaan masyarakat sekiranya isu salah urus, aset terbiar dan rekod tidak lengkap terus berlarutan.

Baginda bertitah, pengurusan harta wakaf bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, sebaliknya satu amanah besar yang mesti dilaksanakan dengan penuh integriti bagi memastikan hasrat pewakaf terus dihormati dan dimanfaatkan oleh golongan yang berhak.

Menurut baginda, umat Islam perlu bersikap jujur dalam menilai keadaan sebenar institusi wakaf serta berani mengambil langkah pembaharuan bagi mengatasi kelemahan yang masih membelenggu sektor itu.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa usaha memperkenalkan pelbagai instrumen kewangan seperti sukuk wakaf tunai tidak akan membawa makna sekiranya tidak disertai penghayatan terhadap nilai kerohanian dan matlamat sebenar wakaf.

Pada masa sama, baginda menegur masih terdapat tanah dan aset wakaf yang tidak dibangunkan, selain rekod pengurusan yang tidak teratur sehingga menyebabkan potensi harta wakaf gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

“Harta wakaf di sesetengah tempat hilang akibat pengabaian dan salah urus, seolah-olah menghina niat murni pewakaf. Apabila pengurusan lemah, keberkatan berkurangan manakala kepercayaan pewakaf dikhianati secara senyap,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa PERKIM 2026 bertemakan Perkukuh Agenda Kesejahteraan Ummah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sehubungan itu, Sultan Nazrin menegaskan masyarakat Islam tidak boleh terus berbangga dengan kegemilangan institusi wakaf pada masa lampau tanpa melakukan usaha serius untuk memperkukuh serta memodenkannya mengikut keperluan semasa.

Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbir wakaf bukan pemilik harta berkenaan, sebaliknya hanya pemegang amanah yang bertanggungjawab memastikan manfaatnya sampai kepada golongan miskin, pelajar, pesakit dan generasi akan datang.

Menurut baginda, penyelenggaraan rekod yang sistematik, pengurusan kewangan yang telus serta pelaburan yang bijaksana merupakan sebahagian daripada tuntutan ibadah kerana setiap amanah perlu dipertanggungjawabkan.

Bagi memperkasakan institusi wakaf di peringkat global, Sultan Nazrin menggariskan empat cadangan utama, antaranya penubuhan kumpulan kerja antarabangsa untuk menyelaraskan piawaian tadbir urus wakaf, mempercepat penggunaan platform wakaf tunai digital yang telus, melaksanakan projek Waqf for Peace and Planetary Resilience di negara ASEAN serta memasukkan prinsip keseimbangan, keadilan dan kerahiman daripada kerangka Al-Mizan sebagai asas tadbir urus institusi wakaf.

Baginda berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting untuk mencorakkan masa depan institusi wakaf agar terus relevan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah secara mampan.

Sementara itu, Pengerusi PERKIM, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, wakaf tidak lagi wajar dilihat hanya sebagai instrumen kebajikan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampu melengkapi perbelanjaan kerajaan.

Menurut beliau, pengurusan wakaf yang cekap berpotensi memperkukuh sektor pendidikan, kesihatan, keusahawanan, perumahan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran masyarakat secara menyeluruh.

Konvensyen anjuran PERKIM itu menghimpunkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada pakar wakaf, ahli akademik dan pengamal dakwah dari dalam serta luar negara bagi membincangkan usaha memperkukuh tadbir urus wakaf serta memperluaskan manfaatnya kepada pendidikan, kebajikan asnaf dan pemerkasaan mualaf.

BBerkaitan

Latest articles