Samsuri Nafi Persefahaman PN-BN Bermotif Perkauman, Dakwa Hanya Propaganda Politik

SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan persefahaman politik antara PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu perkauman.

Menurutnya, dakwaan yang mengaitkan kerjasama itu dengan sentimen kaum hanyalah propaganda yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mempengaruhi persepsi pengundi.

“Kalau kita tengok propaganda ini, ia diulang berkali-kali dengan harapan lama-kelamaan orang akan mempercayainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kempen PRN di Senawang, semalam.

Mengulas dakwaan bahawa kempen PN dilihat kurang menyerlah, Samsuri berkata tanggapan itu tidak tepat kerana jentera kedua-dua gabungan sedang giat bekerja di peringkat akar umbi.

Beliau menjelaskan, walaupun suasana kempen tidak begitu ketara kepada orang ramai, gerak kerja di lapangan membabitkan jentera PN dan BN berjalan dengan aktif.

“Orang biasa mungkin melihat kempen agak tenang, tetapi sebenarnya jentera BN dan PN sedang bergerak dengan sangat aktif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui usaha menyelaraskan kempen bersama rakan persefahaman baharu memerlukan sedikit masa.

Bagaimanapun, beliau berkata perjalanan kempen di kawasan yang ditandingi BN dan PN setakat ini berjalan lancar.

“Orang kahwin pun perlu ambil masa… lambat sikit,” katanya berseloroh.

Di bawah persefahaman bagi PRN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 11 kerusi ditandingi PN.

Pengundi Negeri Sembilan dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian yang ditetapkan pada 1 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles