Istana Negeri Sembilan Tegas Kekal Berkecuali, Larang Nama Institusi Diraja Dijadikan Modal Kempen PRN

SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan mengingatkan semua parti politik agar tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan atau modal dalam ceramah serta kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata institusi beraja sentiasa berpegang kepada prinsip berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti atau terlibat dalam sebarang aktiviti politik.

Menurut beliau, Institusi Raja berperanan sebagai payung perpaduan rakyat yang bertanggungjawab memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara, justeru kedudukannya perlu dihormati dan tidak dipolitikkan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Azizi turut menggesa semua calon yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan supaya mengelakkan isu membabitkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja sepanjang tempoh berkempen.

Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak mengamalkan kempen yang matang, beretika serta mematuhi undang-undang demi memastikan keharmonian dan ketenteraman negeri terus terpelihara.

Katanya, Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan institusi diraja terus dihormati serta tidak dieksploitasi atau disalah tafsir bagi memenuhi kepentingan politik mana-mana pihak.

Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

BBerkaitan

Latest articles