More

    ‘Rekaan semata-mata’, bekas ADUN nafi cabul isteri rakan

    Bekas ADUN Air Putih, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, tampil menafikan dakwaan mencabul isteri rakannya susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

    Nizam berkata, dakwaan yang dibuat pasangan suami isteri dari Taman Melawati, Ampang, Selangor itu hanyalah rekaan semata-mata.

    Menurut laporan akhbar Utusan, beliau menyifatkan dakwaan itu hanya bertujuan menjatuhkan reputasi dan mengaibkan dirinya.

    Nizam berkata, beliau dan isteri tidak pernah bermalam di rumah pasangan terbabit kerana mempunyai kediaman di Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun katanya, beliau sudah menjangka perkara itu akan berlaku kerana menerima ugutan awal daripada rakan baiknya yang berusia 50 tahun itu pada Ahad lalu. Nizam juga mendakwa dipukul lelaki berkenaan.

    Bekas naib ketua Umno Kemaman itu berkata, rakannya itu mempunyai hutang berjumlah RM200,000 dengannya dan hubungan persahabatan mereka renggang sejak Sept tahun lalu kerana kegagalannya melunaskan hutang.

    “Ahad lalu kira-kira 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga, dan katanya untuk berbincang tentang hutang.

    “Tetapi tiba-tiba saya ditumbuk sebanyak dua kali di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.

    “Saya maklumkan padanya akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya.

    “Tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” katanya kepada Utusan semalam.

    Satu laporan dibuat di Balai Polis Chukai dan suspek ditangkap di Ampang, Selangor pada petang Jumaat. Suspek namun belum lagi direman dan kini dibenarkan jamin.

    Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, mengesahkan laporan kejadian pukul dan khianat membabitkan Nizam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Nizam sementara itu menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan lanjut mengenai dakwaan cabul tersebut.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini