KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan pengenalan peraturan lebih ketat terhadap kemasukan produk murah menerusi platform e-dagang antarabangsa bagi melindungi daya saing usahawan tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengekang lambakan barangan asing yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan, khususnya syarikat kecil tempatan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya beberapa langkah kawalan dipertimbangkan bagi menangani isu berkenaan tanpa menyekat sepenuhnya perdagangan antarabangsa.
“Kita tidak bertujuan untuk menyekat tetapi yang kita mahu pelaburan dan perdagangan, bukan lambakan barang yang murah… dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pengasas Chunk & Dunk, Adam Shamil, dalam program Dialog Negara Khas Bersama Perdana Menteri bertemakan ‘Di Sebalik Keputusan’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disiarkan pada Rabu.
Anwar berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah kemasukan produk menerusi platform e-dagang antarabangsa, termasuk yang menawarkan barangan pada harga jauh lebih rendah berbanding produk tempatan.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan persaingan perdagangan berlangsung secara adil selain menjamin kepentingan pengguna dan usahawan dalam negara.
Beliau berkata, syarikat asing juga perlu mengambil kira aspek kerjasama dengan syarikat tempatan serta pematuhan terhadap standard kualiti, keselamatan dan kesihatan produk.
Dalam pada itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada keperluan pensijilan halal bagi produk yang menggunakan label berkenaan.
Anwar berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menghalang kemasukan pelaburan atau perdagangan asing, sebaliknya memastikan aktiviti perniagaan tidak menjejaskan ekosistem ekonomi tempatan.










