Kontraktor Kebersihan Sekolah Belum Dibayar Sejak Julai, Kerajaan Ada Duit Atau Tidak? – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan kelewatan pembayaran kepada kontraktor kebersihan sekolah yang masih belum menerima bayaran sejak Julai lalu, sedangkan kerja-kerja berkenaan telah dilaksanakan mengikut kontrak.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kelewatan itu berlaku kerana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masih belum menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyelesaikan pembayaran kepada kontraktor terbabit.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, terdapat kontraktor yang masih belum menerima bayaran bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2026.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh PPD menerusi mesej WhatsApp yang diterimanya.

“Sampai hari ini, masih banyak kontraktor kebersihan sekolah yang tak dapat bayaran sejak bulan Julai lepas.

“Saya ada banyak mesej WhatsApp dalam beberapa saat ini saya nak baca sikit. Ini daripada satu PPD.

‘Untuk makluman semua, setakat hari ini tiada peruntukan yang diterima daripada KPM untuk bayaran kontrak KBK’,” katanya ketika membahaskan peruntukan KPM di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Khamis.

Wan Saiful berkata, apabila kontraktor bertanyakan mengenai tunggakan bayaran selama tiga bulan, PPD memaklumkan pihaknya juga tidak dapat membuat pembayaran kerana masih menunggu peruntukan daripada kementerian.

Beliau turut membacakan satu lagi mesej daripada kontraktor yang bertanyakan status pembayaran bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2026.

“Jawapan daripada PPD, ‘Ya, kami masih menunggu peruntukan tersebut untuk selesaikan pembayaran. Doakan semoga dipercepatkan duit disalurkan sebelum penutupan akaun’.

“Jadi PPD minta tolong doa. Ini bagi saya tak adil kepada syarikat-syarikat kecil yang ikhlas menjalankan kerja mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kemampuan kerajaan menyelesaikan pembayaran kepada kontraktor sendiri sedangkan pada masa sama sering mengumumkan kejayaan menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit.

“Kita selalu dengar kerajaan mengumumkan macam-macam kejayaan, menarik pelaburan berbilion-bilion ringgit, tapi nak bayar kepada kontraktor sendiri pun tak ada duit.

“Jadi kerajaan ini ada duit ke tak ada duit sebenarnya? Kalau betul berjaya membina ekonomi negara, kenapa bayaran kepada kontraktor sendiri pun tak mampu nak buat?” soalnya.

Dalam perbahasan sama, Wan Saiful turut meminta penjelasan kerajaan berhubung kemungkinan kontraktor terjejas dengan pelaksanaan Arahan Perbendaharaan 58 (AP58), khususnya berkaitan tunggakan pembayaran.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan kontraktor yang telah melaksanakan tanggungjawab mengikut kontrak tidak terus menanggung kesan kelewatan pembayaran yang berpunca daripada kegagalan penyaluran peruntukan.

BBerkaitan

Latest articles