Reezal Boleh Buat Kerja, Sambung Perjuangan Pak Lah, Kata KJ

KUALA LUMPUR: Atas dasar semangat persahabatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini turun padang memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertanding di DUN Bertam.

Kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Menteri Kesihatan itu menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu meluangkan masa kira-kira sejan menyantuni penduduk dan peniaga di kawasan tersebut.

Beliau juga sempat menitip pesanan kepada para pengundi di kawasan itu untuk menyokong Reezal yang sememangnya mempunyai rekod khidmat bakti yang baik.

“Kalau nak memilih wakil rakyat ini kena pilih pemimpin terbaik. Lebih-lebih lagi untuk jadi ADUN sebab perkhidmatan dia berlainan daripada Ahli Parlimen yang mana dia kena selesaikan banyak masalah harian.

“Saya tahu dia boleh buat kerja dan pandai selain memiliki banyak pengalaman sama ada dalam parti atau kerajaan,” katanya.

Malah Khairy menjelaskan, beliau menyokong Reezal kerana DUN Bertam merupakan kampung bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana legasi bekas Perdana Menteri itu harus diteruskan.

“Bagi saya, Reezal adalah pewaris perjuangan Pak Lah di sini (Kepala Batas) dan saya tidak mahu ia terputus.

“Pak Lah wakil rakyat di sini sejak 1970-an dan memang diteruskan Reezal walaupun PRU15 ada sedikit gangguan dan saya harap PRN kali ini di Bertam insya-Allah Reezal dapat meneruskan perjuangan tersebut,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles