KUALA LUMPUR: Pemberian bonus tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2017 disifatkan tidak wajar oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengambil kira kedudukan kewangan institusi itu ketika berdepan tekanan.
Menerusi laporan RCI TH yang didedahkan hari ini, suruhanjaya itu mendapati nilai aset TH dalam tempoh berkenaan lebih rendah berbanding liabiliti seperti direkodkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui Jabatan Audit Negara.
Menurut RCI, pemberian bonus besar berlaku selepas TH menggunakan penilaian aset berdasarkan kaedah Realisable Asset Value (RAV), yang menyebabkan institusi itu dilihat mencatat keuntungan tinggi.
Laporan itu mendedahkan kadar bonus kakitangan TH antara 2010 hingga 2017 berada pada tahap antara dua hingga 13 bulan gaji, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.
Bagi 2014, cadangan bonus membabitkan bayaran sehingga 13 bulan gaji dengan implikasi kewangan kira-kira RM74 juta.
RCI berkata, proses kelulusan bonus dibuat melalui tiga peringkat iaitu Lembaga Pengarah TH, Menteri Hal Ehwal Agama dan Kementerian Kewangan (MOF), dengan kelulusan bonus melebihi dua bulan gaji tertakluk kepada pertimbangan Menteri Kewangan.
Bagaimanapun, RCI menegaskan mulai tahun kewangan 2018, pemberian bonus kepada kakitangan TH mula dikawal berdasarkan kemampuan kewangan sebenar institusi berkenaan.










