Pemuda MCA Desak AGC Laksana Titah Tahanan Rumah Najib Tanpa Bertangguh

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa segera melaksanakan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Razak, tanpa terus berdolak-dalik sehingga menimbulkan persoalan terhadap pematuhan prinsip keluhuran Perlembagaan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong, menegaskan tiada alasan untuk pelaksanaan perintah tahanan di rumah itu terus ditangguhkan sekiranya semua syarat pengampunan telah dipenuhi.

Beliau berkata, penangguhan oleh AGC pada 6 November lalu, selepas Najib melunaskan denda RM50 juta, menimbulkan persoalan mengenai tindakan jabatan itu yang hanya membangkitkan isu berkaitan pelaksanaan perintah berkenaan selepas pembayaran dibuat.

Menurutnya, Peguam Negara sendiri merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 18 September 2026 bagi membuat keputusan berhubung pengampunan Najib.

“Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan atau ketidakjelasan mengenai syarat pengampunan, mengapa perkara ini tidak dibangkitkan dan diperjelaskan ketika mesyuarat berlangsung?

“Mengapa hanya selepas denda RM50 juta dijelaskan, barulah timbul persoalan yang kini menyebabkan pelaksanaannya tertangguh?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Neow turut mempersoalkan peranan setiap anggota Lembaga Pengampunan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang sepatutnya menyatakan pendirian dengan jelas ketika keputusan dibuat.

Beliau menegaskan kenyataan Istana Negara yang menekankan bahawa perintah pengampunan berkenaan jelas dan tidak kabur perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, khususnya AGC yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya.

Malah, katanya, peringatan Istana Negara bahawa sebarang hujah mempertikaikan perintah itu menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Neow, kelewatan berkenaan bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap kecekapan pentadbiran undang-undang negara, malah berpotensi mencemarkan imej Malaysia di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa dalam menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau menegaskan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati dan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Proses perundangan telah dilalui dan keputusan pengampunan telah diperkenankan. Segala keputusan yang telah diperkenankan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Neow turut memberi amaran bahawa kegagalan AGC menjunjung prinsip berkenaan boleh menimbulkan persoalan besar terhadap peranan institusi itu sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan serta tanggungjawabnya mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

“Kedaulatan Raja dan keluhuran Perlembagaan bukan prinsip yang boleh ditafsir atau dilaksanakan mengikut keselesaan mana-mana pihak.

“Hormati titah Yang di-Pertuan Agong. Tunaikan tanggungjawab. Laksanakannya tanpa bertangguh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles