KUALA LUMPUR: Mahkamah lebih tinggi perlu campur tangan bagi memperjelaskan maksud dan pelaksanaan perintah tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak, susulan percanggahan tafsiran yang mencetuskan kekeliruan berpanjangan.
Pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata penjelasan kehakiman itu penting bagi menentukan maksud sebenar perintah berkenaan, sekali gus mengelakkan pihak berkaitan terus mengemukakan tafsiran berbeza.
Beliau berkata, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menangguhkan sementara pelaksanaan perintah itu menunjukkan wujud tafsiran tersendiri terhadap maksud perintah Mahkamah Tinggi.
“Jika AGC mempunyai tafsiran sendiri, pihak lain juga mungkin mempunyai tafsiran masing-masing.
“Justeru, jika sesuatu perintah mahkamah boleh ditafsirkan daripada dua atau lebih perspektif, maka perintah itu perlu diperjelaskan oleh mahkamah lebih tinggi,” katanya memetik BH.
Mengulas kemungkinan permohonan Najib yang dijadual didengar Selasa ini memihak kepada bekas Perdana Menteri itu, Nik Ahmad Kamal berkata, pelaksanaan tahanan di rumah perlu diteruskan sekiranya mahkamah memutuskan hukuman berkenaan boleh dilaksanakan.
“Benar. Kalau mahkamah memberi tafsiran bahawa hukuman tahanan di rumah diteruskan, maka ia perlu dilaksanakan,” katanya.
Semalam, Istana Negara menegaskan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.
Kenyataan itu turut menyebut semua syarat dalam perintah berkenaan telah dipenuhi, justeru pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Istana Negara juga mengingatkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, AGC menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Baginda.
Pada Jumaat lalu, AGC memaklumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perbezaan tafsiran terhadap perintah pembebasan Najib oleh Mahkamah Tinggi, selepas beliau melunaskan denda RM50 juta berkaitan kes penyelewengan dana SRC International.
Sebelum itu, pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya meneliti petisyen Najib mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.










