Rayuan Kes Solar Rosmah Ditangguh Ke September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion ke September depan sementara menunggu keputusan permohonan semakannya di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli membenarkan permohonan penangguhan itu dan menetapkan rayuan didengar pada 1 hingga 4 September, 8 hingga 11 September serta 21 hingga 30 September.

Menurut Azhahari, keputusan itu dibuat berdasarkan jaminan terdahulu bahawa rayuan hanya akan diteruskan selepas prosiding berkaitan permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan hakim perbicaraan, Datuk Zaini Mazlan, selesai di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah menegaskan kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes tertunggak dan tiada lagi penangguhan akan dibenarkan sebaik sahaja pendengaran rayuan bermula pada September.

Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah rayuan berkenaan wajar diteruskan memandangkan ia telah tertangguh sejak 2023.

Mahkamah Persekutuan pula menetapkan 29 Julai ini bagi mendengar permohonan semakan Rosmah terhadap keputusan yang sebelum ini menolak permohonannya supaya Zaini menarik diri daripada mengendalikan perbicaraan.

Permohonan itu dibuat susulan dakwaan wujud dua versi penghakiman yang disiarkan sebelum keputusan diumumkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan berlakunya berat sebelah.

Namun, Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu memutuskan tiada bukti Zaini bersikap berat sebelah atau berlaku ketidakadilan sepanjang prosiding.

Pada 2 September 2022, Rosmah disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak serta didenda RM970 juta, selain berdepan tambahan 10 tahun penjara jika gagal melunaskan denda berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles