Rasulullah Dulu Pun Lambat Tunai Janji Buat Umrah, Begitu Juga Dengan Manifesto PH

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad menolak tanggapan ramai pihak bahawa gabungan itu sengaja tidak menunaikan janji manifesto ketika mentadbir negara pada 2018 yang lalu.

Khalid berkata sebaliknya keadaan itu berlaku kerana wujudnya halangan.

Bahkan Khalid turut merujuk keadaan dimana Nabi Muhammad SAW juga terpaksa menangguhkan janjinya untuk menunaikan ibadah umrah – keadaan yang sama dihadapi PH sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan pusat.

“Pada zaman Rasulullah, walaupun Nabi Muhammad sudah janji mahu buat umrah tapi terhalang tidak dapat ditunaikan. Sama dengan manifesto, kita janji untuk usahakan tapi ada yang tidak dapat ditunaikan,”.

“Saya tak kata Nabi Muhammad mungkir janji, manusia merancang dan Allah yang menentukan. Kita sebagai orang Islam akan jadikan Rasulullah sebagai pengalaman dalam kehidupan dan pengajaran kepada kita,” ujarnya pada sidang media hari ini.

Khalid, yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan mendakwa banyak pihak hanya tahu menuduh kerajaan PH sebelum ini tidak berusaha menunaikan manifesto yang ditaburkan, namun tidak cakna terhadap usaha yang telah dilakukan terutama isu pemansuhan tol.

“Kita sudah jumpa pemilik tol PLUS iaitu kita panggil wakil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional datang mesyuarat kabinet.

“Namun mereka kata kalau mansuh tol, ia akan beri masalah kepada pulangan dan pelaburan mereka sekali gus menjejaskan implikasi kewangan,” ulasnya.

Khalid, bagaimanapun meminta rakyat meraikan beberapa janji PH yang berjaya ditunaikan, misalnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dihapuskan.

Parlimen Titiwangsa bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, PH, Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air.

BBerkaitan

Latest articles