Rakyat Malaysia Di Tangga Ke-4 Dunia Paling Ramai Layari Carian Bahan Lucah

Hasil kajian terkini mendapati dianggarkan tiga hingga empat daripada setiap 10 rakyat Malaysia melayari laman bahan lucah atau pornografi dalam tempoh seminggu.

Malah trafik carian bahan lucah di Internet juga meningkat sehingga 84 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dinyatakan menerusi data dikeluarkan laman pornografi terkenal dunia.

Data berkenaan menempatkan Malaysia di kedudukan empat negara teratas di dunia selepas Slovakia, Bulgaria dan Ireland serta pertama di Asia yang melakukan carian bahan atau video lucah.

Ketua Penyelidik Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, hasil kajian dilakukan bersama Prof Madya Dr Rahim Kamaluddin dan Anum Sofia Muhamad Fadzli terbukti menyokong pendedahan data trend melayari laman pornografi di negara ini.

Kajian tersebut membuktikan kesalinghubungan antarapendedahan terhadap bahan lucah dan pengaruh tingkah laku seks devien (menyimpang) atau luar tabii dalam kalangan pasangan berumah tangga.

“Dalam konteks ini, fantasi dan tingkah laku menyimpang ini merujuk kepada fantasi atau tingkah laku yang dianggap luar kebiasaan daripada norma masyarakat seperti menyakiti pasangan, rogol, hubungan seksual antara ahli keluarga, hubungan seksual dengan haiwan atau kanak-kanak, seks berkumpulan dan sebagainya.

“Hasilnya, responden yang kerap menggunakan bahan pornografi menunjukkan lebih banyak mengamalkan tingkah laku seksual yang menyimpang.

“Selain itu, jika kami bandingkan daripada laporan lain dan kajian kami, anggaran tiga hingga empat daripada setiap 10 orang di Malaysia ini melayari pornografi dalam seminggu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Memperincikan hasil kajian itu, beliau berkata, sebanyak 63 peratus daripada 176 responden mengaku melayari bahan lucah atau pornografi sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Responden terdiri daripada pasangan yang sudah berkahwin dan berusia 18 sehingga 60 tahun.

“Hasil kajian ini mendapati 35.2 peratus menggunakan (melayari laman) pornografi kurang daripada sekali seminggu, 14.7 peratus pula sekali hingga dua kali seminggu.

“Selain itu, 5.1 peratus menggunakan (menonton) pornografi tiga hingga empat kali seminggu dan 6.8 peratus menggunakan pornografi lebih daripada empat kali seminggu,” katanya.

Malah kajian untuk menunjukkan responden lelaki lebih banyak melayari bahan pornografi berbanding wanita.

“Hasilnya, responden lelaki lebih cenderung untuk mempunyai fantasi dan tingkah laku seksual devien berbanding wanita.

“Bagaimanapun, analisis yang lebih teliti menunjukkan golongan lelaki dan wanita tidak menunjukkan perbezaan ketara dalam jenis fantasi seksual yang dilaporkan mereka,” katanya.

Dr Shazli berkata, kaedah rawatan terbaik ialah meningkatkan kawalan kendiri menerusi maklumat disampaikan untuk proses rawatan dan mengawal pemikiran dan tingkah laku menyimpang ini.

“Sememangnya, kes seumpama ini sukar dipulihkan, namun masalah ini dapat diatasi mengikut tahap jika pesakit memberikan kerjasama dan kesungguhan dengan setiap pelan rawatan diberikan oleh terapis psikologi,” katanya.

Ketagihan terhadap bahan pornografi secara tidak langsung boleh menjejaskan keupayaan seseorang individu itu untuk membuat keputusan mahupun mengawal diri.

Malah, sebuah laman pornografi terkenal dunia mendedahkan rakyat negara ini berada di tangga keempat daripada segi trafik carian bahan lucah selepas Slovakia, Bulgaria dan Ireland.

Keadaan itu berlaku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, dipercayai berikutan kebanyakan rakyat memiliki banyak masa terluang kerana ‘dikurung’ di rumah.

Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Madya Dr Suzaily Wahab berkata, kajian menunjukkan masalah ketagihan kepada pornografi mempunyai kaitan dengan perubahan struktur fizikal otak.

“Ini seperti pengurangan jisim kelabu pada otak prefrontal yang berfungsi dalam pengawalan diri dan kelakuan seseorang.

“Semakin kuat ketagihan itu, semakin banyak sel kelabu dimusnahkan seterusnya akan mengurangkan kebolehan seseorang membuat keputusan dan mengawal diri,” katanya.

Selain itu katanya, tindakan melayari laman pornografi dengan kerap juga boleh memberikan kesan kepada perembesan neurotramsmiter dopamin di bahagian otak.

“Ia berperanan dalam memberikan rasa kepuasan dan kesan ketagihan kepada seseorang apabila aktiviti itu diteruskan,” katanya.

Menurutnya, ketagihan pornografi masih boleh diubati namun tempoh pemulihan bergantung kepada faktor penyebab individu itu ketagih bahan lucah berkenaan.

“Faktor penyumbang kepada ketagihan individu itu juga perlu diketahui sebelum proses rawatan dijalankan.

“Tempoh rawatan dan kadar pemulihan berbeza bagi setiap individu kerana akan bergantung kepada punca timbulnya masalah ketagihan itu.

“Antara contoh faktornya ialah perubahan kepada keadaan kesihatan mental seseorang, contohnya apabila menghadapi tekanan yang tinggi akan mencetuskan kecenderungan untuk melayari laman web pornografi sebagai mekanisme melupakan tekanan itu untuk sementara waktu.

“Ada juga kes membabitkan masalah perhubungan seksual, norma atau amalan serta penyebab biologikal iaitu perubahan terhadap bahan kimia otak seperti dopamin yang menimbulkan kesan ketagihan apabila melayari laman web pornografi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ketagihan ini berpotensi dipulihkan dan diatasi dengan pelan rawatan yang baik dan konsisten.

“Kaedah kaunseling secara individu atau bersama pasangan juga pilihan rawatan sesuai kerana masalah ketagihan pornografi ini kebiasaannya menjejaskan perhubungan.

BBerkaitan

Latest articles