​’Rakyat Mahu Kestabilan, Jangan Berpolitik Sepanjang Masa’ – PM Jawab Desakan Bubar Parlimen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desakan pihak pembangkang supaya Parlimen dibubarkan bagi menangani isu ketidakstabilan pasaran domestik, dengan menegaskan bahawa tumpuan penuh pentadbiran beliau adalah untuk memastikan ekonomi berkembang demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, rakyat Malaysia kini menuntut kestabilan politik dan pemulihan ekonomi berbanding heretan politik berpanjangan tanpa penyelesaian konkrit.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mencadangkan agar mandat dipulangkan semula kepada rakyat bagi mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dalam berdepan ketidaktentuan global akibat krisis Selat Hormuz.

“Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa,” jawab beliau tenang pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa kerajaan sedia ada mempunyai mandat yang sah dari segi perlembagaan untuk terus berkhidmat menyelesaikan masalah kos sara hidup, mengawal inflasi bahan api serta membina daya tahan ekonomi negara.

Beliau mengingatkan pihak pembangkang agar bersabar menanti ketibaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tanpa perlu bersikap terlalu yakin dengan sokongan politik semasa.

“Jadi bagilah masa, kita ada mandat, sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tak ada masalah itu. Cuma jangan-jangan… masing-masing. Saya pun tak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin,” ujar beliau.

Anwar juga sempat menitipkan pesanan berunsur kerohanian dengan mengajak semua ahli dewan untuk mengamalkan sikap berserah kepada ketetapan tuhan setelah melaksanakan usaha terbaik demi negara.

“Kerana kita, fatawakkal ‘alallah, innallaha yuhibbul mutawakkilin (maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles