Chery Panggil Balik OMODA 5

KUALA LUMPUR: Chery Auto Malaysia mengumumkan pelaksanaan kempen panggil balik (recall campaign) bagi model OMODA 5 susulan insiden yang melibatkan kenderaan berkenaan.

Menurut kenyataan rasmi syarikat tersebut, pihak Chery sedia maklum berhubung insiden terbabit dan telah bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak ia mula dilaporkan.

Kempen panggil balik itu melibatkan model OMODA 5 bagi varian C dan H untuk tujuan pemeriksaan serta penggantian komponen sekiranya perlu.

“Pelanggan boleh membuat semakan bagi mengesahkan sama ada kenderaan mereka terlibat atau sebaliknya melalui Nombor Identifikasi Kenderaan (VIN) di laman web rasmi kami.

“Syarikat akan menyediakan pemeriksaan kenderaan secara komprehensif manakala sebarang tindakan susulan termasuk penggantian komponen adalah percuma,” katanya.

Dalam pada itu, Chery turut menggalakkan pemilik OMODA 5 untuk hadir ke pusat servis sah Chery berhampiran bagi membolehkan pasukan teknikal memberikan bantuan.

“Chery Auto Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi. Kami kekal komited untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab di samping memastikan keselamatan pelanggan terjamin,” jelas kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi talian Chery Careline di 03-9388 0888.

BBerkaitan

Latest articles