Nepal Dilanda Banjir Lumpur Lagi, 40 Rumah Dihanyutkan

KATHMANDU: Nepal sekali lagi dilanda bencana banjir apabila aliran deras Sungai Budhi Gandaki di daerah Gorkha menghanyutkan kira-kira 35 hingga 40 rumah serta beberapa jambatan pada Ahad.

Kejadian banjir lumpur yang membawa mendapan, batu dan serpihan itu turut merosakkan kem projek hidroelektrik serta menyebabkan penduduk di kawasan berisiko diarahkan berpindah ke tempat lebih selamat.

Menurut laporan media tempatan, banjir berlaku selepas kejadian tanah runtuh dipercayai menyekat aliran sungai sebelum air melimpah secara mendadak ke kawasan hilir.

Antara kawasan terjejas ialah Salleri, Jagat Bagar dan Ghattikhola, manakala beberapa penempatan di sepanjang sungai turut berdepan risiko akibat paras air yang meningkat.

Tiga jambatan, termasuk dua jambatan gantung pejalan kaki dan sebuah jambatan besi yang boleh dilalui kenderaan, dilaporkan dihanyutkan arus deras.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Budhi Gandaki berpindah ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Anggota tentera dan polis Nepal turut digerakkan untuk membantu operasi menyelamat serta memantau keadaan di kawasan terjejas.

Reuters melaporkan enam individu diselamatkan anggota tentera dari kawasan berisiko tanah runtuh, manakala 18 pekerja projek hidroelektrik berjaya menyelamatkan diri.

Setakat laporan awal, tiada kematian dilaporkan, namun beberapa individu masih dilaporkan hilang dan usaha mencari serta menyelamat diteruskan.

Kejadian terbaharu itu berlaku ketika Nepal masih berdepan kesan bencana banjir besar pada 26 Ogos lalu yang melanda kawasan berhampiran sempadan Nepal-China.

Banjir pada Ogos itu dipercayai dicetuskan runtuhan sebahagian glasier yang mencetuskan aliran air, ais, batu dan mendapan ke kawasan hilir.

Menurut laporan Reuters, bencana berkenaan mengorbankan 1,457 orang, manakala ribuan lagi dilaporkan hilang.

Bencana pada Ogos itu turut memusnahkan kediaman dan infrastruktur serta menjejaskan usaha pemulihan di beberapa kawasan, dengan pihak berkuasa beralih daripada operasi mencari dan menyelamat kepada usaha membina semula kawasan terjejas.

Walaupun kedua-dua kejadian membabitkan banjir besar, pihak berkuasa belum mengaitkan secara langsung banjir terbaharu di Sungai Budhi Gandaki dengan bencana pada Ogos lalu.

Pihak berkuasa Nepal terus memantau paras air sungai dan menggesa penduduk di kawasan berisiko supaya mematuhi arahan pemindahan serta amaran keselamatan.

BBerkaitan

Latest articles