Anwar: Tidak Adil Pekerja Jujur Bayar Cukai, Golongan Kaya Sembunyi Pendapatan

CYBERJAYA: Golongan berpendapatan besar yang menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai helah perakaunan tidak seharusnya terlepas daripada tanggungjawab membayar cukai, sedangkan pekerja biasa terus menunaikan kewajipan mereka kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem percukaian perlu dilaksanakan secara adil dan saksama bagi memastikan semua pihak, tanpa mengira kedudukan kewangan, memikul tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois menjadi instrumen penting untuk meningkatkan ketelusan urus niaga, mengesan ketidakpatuhan serta memastikan keadilan dalam sistem percukaian negara.

Menurutnya, e-Invois bukan bertujuan memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban rakyat, sebaliknya memastikan setiap pihak membayar cukai sewajarnya berdasarkan tanggungjawab masing-masing.

“Melalui penggunaan data e-Invois, lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun terdahulu secara sukarela, dengan cukai kena dibayar berjumlah RM1.68 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026, hari ini.

Anwar berkata, sehingga semalam, sebanyak 2.14 bilion e-Invois dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai.

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan membolehkan rekod urus niaga dipantau dengan lebih telus, sekali gus memperkukuh usaha mengesan pihak yang gagal mematuhi peraturan percukaian.

Beliau turut menegaskan keadilan percukaian merupakan antara tonggak Malaysia MADANI, selain merujuk pendekatan People’s Budget 1909 oleh mantan Menteri Kewangan Britain, David Lloyd George, yang mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya dan pemilik harta bagi membiayai pencen warga emas.

“Inilah teknologi yang mengangkat nilai manusiawi, bukan menggantikan pertimbangan manusia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles