SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir dan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama lima hari bermula esok hingga 11 November ini.
Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, beberapa lokasi berisiko banjir dikenal pasti termasuk Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Meru dan Jalan Haji Salleh, Pekan Meru.
Katanya, langkah mitigasi termasuk menaik taraf sistem saliran, pemasangan flap gate, pembaikan paip pelepasan serta penyelenggaraan kolam takungan sedang diberi perhatian.
Beliau berkata, sebanyak 83 aduan bencana diterima dalam tempoh dua hari lalu, dengan 62 kes selesai, 16 masih dalam tindakan dan lima membabitkan bantuan khas.
Berdasarkan hebahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang dijangka mencecah 5.2 meter pada jam 5.02 pagi Ahad, iaitu dalam kategori paras amaran.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan memantau perkembangan cuaca, mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi serta menyimpan dokumen dan barangan berharga di lokasi selamat.
Dalam perkembangan lain, MBDK turut membenarkan tuntutan kerosakan kenderaan atau harta benda akibat pokok tumbang di bawah seliaannya, tertakluk kepada laporan polis terlebih dahulu.










