Punca Nahas Pesawat Bakal Terjawab, Rakaman Suara 30 Minit Terakhir Berjaya Diperoleh

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini memaklumkan data mengandungi rakaman suara dari kotak perakam suara kokpit (CVR) dalam nahas pesawat Elmina pada 17 Ogos lalu, telah berjaya diperoleh semula.

Terdahulu, CVR dihantar ke kilang pengeluarnya di Florida, Amerika Syarikat, selepas cubaan memperoleh data di makmal di Singapura gagal.

Dalam pada itu Anthony berkata, semua rakaman terutama 30 minit terakhir sebelum pesawat terhempas telah diekstrak dan laporan awal dijangka siap dua minggu lagi.

“Jadi rakaman kokpit itu sudah dihantar melalui e-mel kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur. Semua rakaman suara pada dua juruterbang itu sedang dianalisa bagi kenal pasti punca nahas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Meskipun beliau sudah diberi maklumat awal mengenai isu berkenaan, namun Anthony menegaskan beliau tidak akan memberitahu secara terperinci punca nahas.

“Saya tidak mahu buat apa-apa rumusan walaupun Ketua BSKU ada beri sedikit maklumat awal kepada saya. Saya fikir saya tidak mahu beri spekulasi.

“Saya serahkan kepada pihar pihak pakar kita buat analisa dan maklumat itu akan dikongsikan dalam laporan awal nanti,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, semua pihak dinasihatkan tidak salah faham dengan proses siasatan berkenaan kerana ia bukan mencari salah mana-mana pihak sebaliknya ia tertumpu kepada mengenal pasti punca utama nahas terbabit.

Pada 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina dalam kejadian jam 2.50 petang.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu.

BBerkaitan

Latest articles