KUALA LUMPUR, — Malaysia tidak akan mengetepikan isu pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway walaupun negara sedang meneroka penyelesaian alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia berhak menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat memandangkan sejumlah besar dana awam telah diperuntukkan bagi program berkenaan.
Menurut beliau, sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport tersebut, dana yang telah diperuntukkan boleh digunakan untuk tujuan lain, sekali gus mengelakkan kerugian kewangan serta kehilangan masa dan peluang strategik yang bernilai.
Beliau menegaskan bahawa usaha mencari pengganti kepada sistem NSM bukanlah proses yang mudah kerana ia melibatkan penilaian alternatif yang sesuai, rundingan kontrak baharu serta integrasi sistem ke dalam platform sedia ada yang memerlukan masa dan sumber yang besar.
Khaled berkata isu berkenaan bukan sekadar pertikaian kontrak dua hala, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap aspek pertahanan dan keselamatan negara.
“Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Namun bergerak ke hadapan tidak bermaksud melupakan atau menerima sesuatu tanpa akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan media sebagai respons kepada artikel New Straits Times bertajuk Move on from missile deal and find replacement yang diterbitkan pada 1 Jun.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Norway dalam membatalkan komitmen tersebut tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang akibat kerana ia berpotensi mewujudkan duluan yang berbahaya kepada kerjasama pertahanan, ekonomi dan strategik pada masa hadapan.
Menurutnya, negara-negara kecil dan kuasa pertengahan seperti Malaysia bergantung kepada sistem antarabangsa yang stabil dan boleh diramal, di mana setiap komitmen dan obligasi dihormati oleh semua pihak.
Khaled berkata pampasan yang dituntut bukan sekadar bagi mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakan, tetapi juga perlu mengambil kira keseluruhan kesan yang ditanggung Malaysia akibat pembatalan berkenaan.
Beliau menambah bahawa hubungan dua hala Malaysia-Norway kini terjejas oleh ketidakpercayaan yang mendalam dan tidak boleh diteruskan seperti biasa tanpa akauntabiliti serta ketelusan daripada pihak Norway.
“Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Namun Norway masih bertanggungjawab memberikan akauntabiliti dan ketelusan kepada Malaysia serta rakyatnya,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pandangan beberapa penganalisis yang mencadangkan Malaysia memberi tumpuan kepada mencari pengganti sistem peluru berpandu berkenaan dan meneruskan perancangan pertahanan negara tanpa terlalu memberi tumpuan kepada pertikaian yang berlaku.










