Malaysia Kekal Penanda Aras Dunia, Pengurusan Haji 2026 Dipuji Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menguruskan operasi haji musim 1447H/2026M secara lancar, tersusun dan sistematik terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila negara sekali lagi dinobatkan sebagai penerima anugerah pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan Malaysia mengekalkan reputasi sebagai antara negara peneraju dalam pengurusan haji global menerusi pelbagai pendekatan inovatif dan berorientasikan kebajikan jemaah.

Menurut beliau, antara inisiatif yang mendapat perhatian pelbagai negara ialah Program Green Hajj atau Haji Lestari yang memberi tumpuan kepada amalan mesra alam termasuk kitar semula serta penggunaan semula kain ihram dan pelbagai barangan lain yang boleh dikitar semula.

“Selain itu, kempen kebersihan yang dilaksanakan di kawasan Masya’ir dan penempatan jemaah turut menerima pujian kerana tahap kebersihan yang tinggi serta pengurusan yang teratur,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menamatkan lawatan kerja bagi memantau dan menyelaras urusan jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Beliau turut memaklumkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) terus dipertingkatkan menerusi aplikasi E-Taib yang membolehkan jemaah memperoleh maklumat serta panduan ibadah secara masa nyata dengan pemantauan pakar syariah.

Dalam perkembangan sama, Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima Labaitum Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam bidang pengurusan haji.

Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan Labaitum kali kelima diterima Malaysia, selain kali kedua negara berjaya meraih kategori Diamond Award.

Zulkifli berkata, pencapaian itu menjadi bukti kecekapan sistem pengurusan haji negara yang diterajui Lembaga Tabung Haji sehingga dijadikan rujukan oleh banyak negara lain.

Katanya, setiap aspek perkhidmatan kepada jemaah dirancang secara menyeluruh, merangkumi kursus persediaan haji, urusan penerbangan, penginapan, logistik, penyediaan makanan dan keselamatan bagi memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas haji daripada Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertungkus-lumus memastikan kesihatan, keselamatan dan keselesaan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, pasukan bantuan dikenali sebagai “Semut Hitam” sentiasa berada di lapangan bagi membantu jemaah yang memerlukan bantuan segera termasuk mereka yang tersesat di sekitar Masjidil Haram.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan terhadap pengurusan haji negara, selain berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi termasuk Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama erat yang diberikan.

Beliau menegaskan pengiktirafan yang diterima secara berterusan mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan haji yang moden, berkualiti dan berteraskan kebajikan jemaah, sekali gus memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles