PH Johor Sedia Hadapi PRN, Dakwa Pembubaran DUN Sudah Dijangka

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan mereka tidak terkejut dengan keputusan kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, malah mendakwa langkah itu sudah dijangka sejak awal lagi.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, kepimpinan PH Johor berkata gabungan itu telah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan mengambil langkah membubarkan DUN dalam tempoh terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut mereka, jangkaan tersebut turut menyebabkan pengumuman sebelum ini mengenai persidangan DUN yang dijadual berlangsung pada 22 Jun dilihat tidak munasabah.

“PH telah menjangkakan BN akan membubarkan DUN dalam masa terdekat. Ternyata pengumuman sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun lalu tidak masuk akal sama sekali,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PH Johor menegaskan mereka akan meneruskan segala persiapan yang telah dirancang bagi menghadapi PRN atas semangat demokrasi dan komitmen kepada rakyat negeri ini.

Gabungan berkenaan turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan Pusat bagi menentukan strategi serta langkah seterusnya menjelang pilihan raya.

Dalam masa sama, PH Johor menegaskan mereka tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi pada PRN akan datang.

“Tiada pilihan raya yang mudah. Pakatan Harapan akan menggembeling seluruh kekuatan dan usaha bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya negeri kali ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Pengerusi Pakatan Harapan Johor merangkap Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, bersama Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa hari ini bagi membuka laluan kepada PRN negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles