Puad mahu bina pusat dialisis di DUN Rengit

BATU PAHAT – Datuk Mohd Puad Zarkashi berhasrat mahu membina sebuah pusat haemodialisis untuk kegunaan penduduk di kawasan Rengit sekiranya beliau diangkat menjadi wakil rakyat pada 12 Mac ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut berkata, pusat itu nanti akan dibina di sebelah pejabatnya di pusat khidmat wakil rakyat.

Katanya, penduduk di Rengit yang mengalami masalah buah pinggang boleh memanfaatkan kemudahan berkenaan tanpa perlu mendapatkan rawatan ditempat yang jauh.

“Saya akan berusaha untuk membangunkan pusat dialisis di DUN Rengit yang akan saya buat di sebelah pejabat saya nanti.

“Saya dah buat keputusan pejabat DUN saya nanti adalah di kampung saya yang sudah ada balai raya dan disitu akan jadi pusat dialisis,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama calon BN di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Puad membawa tagline sendiri untuk kempennya iaitu 4K yang bermaksud, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan dan keceriaan.

Katanya, dengan tagline itu beliau boleh memacu DUN Rengit dengan lebih baik serta menajdikan kawasan berkenaan lebih maju dan berdaya saing.

Ketika ditanya mengenai perjalanan kempennya yang telah masuk hari ketiga hari ini, Puad yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, semuanya berjalan lancar tanpa ada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, rata-rata penduduk di kawasan Rengit menerimanya dengan senang hati ekoran mereka tahu jasa yang pernah beliau curahkan ketika menjadi Yang Berhormat di kawasan itu sebelum ini.

“Sambutan terhadap saya sangat menggalakkan sebab saya pernah menjadi Ahli Parlimen di sini dan sudah biasa dengan kawasan ini, bahkah banyak perkara juga yang telah saya lakukan di kawasan Rengit ini.

“Maksudnya saya bukan asing pada mereka. Kalau nak sebut sekolah boleh dikatakan semua sekolah di Rengit ini sudah dibina dewan terbuka yang saya usahakan sewaktu saya menjadi timbalan menteri

“Setiap hujung minggu saya balik buat program ziarah kasih…ini semua orang tahu. Dua penggal saya jadi wakil rakyat orang tahu saya akan balik kawasanm” tambahnya.

Kerusi DUN Rengit ini sebelum ini disandang Ayub Jamil yang sebelum ini merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Puad akan berdepan saingan empat penjuru di kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat ditentang calon daripada PKR, Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dua lagi calon bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

BBerkaitan

Latest articles