Pembubaran DUN: Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin Fail Bantahan Rasmi

​KUALA LUMPUR: Undang Yang Empat Negeri Sembilan dan Tengku Besar Tampin telah mengemukakan bantahan rasmi dan keras terhadap pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan malam tadi.

​Bantahan undang-undang tersebut difailkan hari ini menerusi surat bertanda ‘SEGERA’ oleh firma guaman Tetuan Deidra Sharina & Co. Advocates & Solicitors, yang dialamatkan secara langsung kepada Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman.

​Menerusi surat bantahan berkenaan, pihak firma guaman menegaskan bahawa anak-anak guam mereka bertindak sepenuhnya atas kapasiti sebagai Pemerintah Tradisional Negeri Sembilan dan sama sekali bukan mewakili rakyat (wakil rakyat).

​Menurut kandungan dokumen terbabit, tindakan sedemikian diambil susulan pengumuman pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada 4 Jun 2026, kira-kira jam 11 malam.

Pihak peguam menjelaskan bahawa sehingga tarikh surat bantahan itu dikeluarkan, tiada sebarang rundingan mahupun persetujuan yang dimohon atau diperoleh daripada anak-anak guam mereka berkenaan tindakan pembubaran berkenaan.

​Firma guaman terbabit menyifatkan tindakan mengetepikan institusi pemerintah tradisional itu sebagai suatu pelanggaran yang nyata terhadap peruntukan-peruntukan utama di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

​Antara peruntukan yang digariskan secara khusus merangkumi Fasal 56(2), Fasal 38(4), serta Fasal 28(1) dan (2) Undang-Undang Tubuh Negeri.

​”Oleh itu, sekiranya pembubaran DUN diteruskan, ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuklah melibatkan isu keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya,” menurut kandungan surat itu.

​Rentetan daripada itu, pihak Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin menaruh keyakinan tinggi bahawa Speaker DUN akan menghormati sepenuhnya kedaulatan undang-undang serta prinsip perlembagaan yang melindungi Negeri Sembilan, di samping mengambil langkah pembetulan yang tegas dengan kadar segera.

​Surat bantahan berkenaan turut diserahkan secara salinan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Penasihat Undang-Undang Negeri, dan Ketua Polis Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles