JOHOR BAHRU: Spekulasi mengenai kemungkinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kembali bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16) nampaknya tidak berasas apabila Perikatan Nasional (PN) Johor mengesahkan tiada perancangan ke arah itu setakat ini.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tidak menerima sebarang makluman atau perbincangan berkaitan hasrat Ahli Parlimen Pagoh itu untuk kembali beraksi di pentas politik negeri.
Menurut beliau, Muhyiddin dijangka terus memberi tumpuan kepada peranannya di peringkat nasional dan Parlimen, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan bekas Perdana Menteri itu membuat kemunculan semula dalam persaingan DUN Johor.
Muhyiddin sebelum ini pernah mewakili DUN Gambir selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun memilih untuk tidak mempertahankannya pada PRN Johor 2022.
Keputusan itu membuka laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi berkenaan.
Selain DUN Gambir, Muhyiddin juga mempunyai sejarah panjang dalam politik negeri apabila pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang selama dua penggal antara 1986 hingga 1995 ketika memegang jawatan Menteri Besar Johor.
Dalam perkembangan sama, Sahruddin mengesahkan hasratnya untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong yang disandangnya sejak dua penggal lalu.
Mengulas kemungkinan BERSATU membawa masuk calon berprofil tinggi dari peringkat pusat bagi memperkukuh peluang PN pada PRN16, beliau menegaskan setakat ini tiada cadangan sedemikian dibincangkan.
Sebaliknya, kata beliau, sebahagian besar calon yang bakal diketengahkan adalah dalam kalangan pemimpin tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan akar umbi dan memahami keperluan rakyat Johor.
Terdahulu, Sahruddin memaklumkan rundingan pengagihan kerusi antara parti-parti komponen PN bagi menghadapi PRN16 Johor kini hampir dimuktamadkan, dengan kira-kira 80 peratus pembahagian kerusi telah diselesaikan.










