Projek LRT3 Tidak Pernah Terbengkalai, Keputusan PH Selamatkan RM9.72 Bil – Guan Eng, Tony Pua

KUALA LUMPUR: Projek LRT3 yang kini dikenali sebagai Laluan LRT Shah Alam tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara tahun 2018 hingga 2020.

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas Pegawai Khas Kementerian Kewangan Tony Pua dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan, pentadbiran PH ketika itu menyokong penuh projek berkenaan dan menyifatkannya sebagai projek kritikal bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di Lembah Klang.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan sebenar projek berkenaan, selain menjunjung kasih dan menghormati titah pandangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai penyiapan projek pengangkutan awam tersebut.

“Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan MRCB Bhd,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2015 telah meluluskan peruntukan RM9 bilion bagi projek LRT3 dengan jaminan kerajaan sebanyak RM10 bilion kepada Prasarana untuk meraih dana.

Bagaimanapun, menjelang Mac 2018, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja (WPC) berjumlah RM15.2 bilion, iaitu jauh melebihi peruntukan asal yang diluluskan.

“Setelah mengambil kira semua kos lain termasuk pengambilan tanah, yuran Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan perunding, serta faedah semasa pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 telah mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan Jaminan Kerajaan sebanyak RM22 bilion,” kata mereka.

Guan Eng dan Tony berkata selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan sementara usaha merasionalisasikan kos dilakukan bersama pihak PDP, MRCB-George Kent.

Mengenangkan status kemajuan projek yang baru mencapai sembilan peratus pada ketika itu, mereka berkata sebuah perunding kejuruteraan bebas telah dilantik untuk meneliti langkah rasionalisasi bagi memastikan akauntabiliti ekoran wujudnya banyak hutang luar kunci kira-kira yang “tersembunyi” daripada pentadbiran terdahulu, selain bebanan skandal 1MDB.

Hasil semakan yang mematuhi unjuran trafik Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu menyaksikan Jemaah Menteri meluluskan penurunan kos sebanyak 47 peratus, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, yang menyumbang kepada penjimatan RM15.02 bilion.

Langkah-langkah yang diambil termasuk pengurangan tempahan rolling stock daripada 42 set tren enam gerabak kepada 22 set tren tiga gerabak, selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga tahun 2035; penangguhan (bukan pembatalan) pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, dengan menyediakan peruntukan teknikal supaya ia boleh dibina pada masa hadapan, dan pemansuhan model PDP kepada Kontrak Harga Tetap bagi memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan.

Mereka berkata lima stesen yang ditangguhkan itu kini telah dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa melalui penganugerahan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion, merangkumi penambahan bilangan tren dan penaiktarafan lain.

Langkah itu mengubah nilai keseluruhan projek kepada RM21.93 bilion, namun jumlah berkenaan masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion yang diluluskan sebelum ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelanjutan tarikh siap projek dari tahun 2020 ke 2024 berjaya menghapuskan “kos pecutan” (bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja), memandangkan sasaran asal 2020 adalah mustahil dicapai berasaskan status projek pada pertengahan 2018.

“Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.

“Penjimatan kepada Kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT. Penjimatan ini sebaliknya membolehkan kerajaan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan,” kata mereka.

Kedua-dua mereka turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap projek LRT3 yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjadi pemangkin ekonomi di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles