Program Saluran Terbuka Tidak Pernah Ambil Kuota Pelajar Perdana – Md Amin Md Taff

BANGI: Program saluran terbuka di universiti awam tidak pernah mengurangkan kuota atau hak pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melalui saluran perdana, kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR) yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan dasar yang jelas bahawa pengambilan melalui program saluran terbuka tidak boleh mengambil hak atau tempat pelajar yang memasuki universiti melalui sistem kemasukan utama.

“Program saluran terbuka tidak pernah mengambil hak atau kuota sedia ada. Itu adalah arahan dan larangan daripada KPT, malah pematuhan sentiasa dipantau oleh Bahagian Inspektorat serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya ketika berucap pada Forum Bicara Persada: “Pintu Belakang ke IPTA? Menjernihkan Kekaburan” di Dewan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Menurut beliau, data pengambilan pelajar turut menunjukkan kemasukan melalui saluran perdana terus meningkat setiap tahun.

“Tahun lalu pengambilan meningkat kira-kira 8,000 pelajar, manakala tahun ini kerajaan meluluskan tambahan lebih 3,000 tempat bagi program kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), undang-undang dan perakaunan,” katanya.

Beliau berkata, universiti turut menawarkan pelbagai laluan lain termasuk Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), program antarabangsa, program profesional dan program luar pesisir, yang bukan semata-mata bertujuan menjana pendapatan.

“Matlamat utama adalah memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi, meningkatkan kualiti pendidikan serta memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat melanjutkan pengajian,” katanya.

Tambah beliau, hasil yang diperoleh daripada pelbagai aktiviti universiti seperti konsultasi, persidangan, penerbitan dan penggunaan kemudahan kampus disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan, menyediakan biasiswa serta membantu kebajikan pelajar.

“Universiti tidak berniaga untuk keuntungan semata-mata. Apa yang diperoleh dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk kemudahan, bantuan dan peningkatan kualiti pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Masa Depan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, perbincangan mengenai program saluran terbuka perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana ia hanyalah satu daripada pelbagai bentuk perkhidmatan kepakaran dan penjanaan yang ditawarkan universiti.

Beliau berkata, universiti sejak sekian lama telah menyediakan pelbagai program khusus kepada agensi kerajaan, syarikat swasta serta organisasi lain melalui latihan, konsultasi dan kerjasama strategik.

“Perkhidmatan ilmu yang disediakan universiti sebenarnya telah lama dimanfaatkan oleh pelbagai pihak. Program saluran terbuka hanyalah salah satu daripada pendekatan tersebut,” katanya.

Menurut Noor Azlan, universiti juga perlu mengoptimumkan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada bagi menjana pendapatan tambahan untuk memperkukuh kemampanan fiskal, namun usaha tersebut tidak boleh mengorbankan fungsi teras institusi.

“Apabila universiti menjana pendapatan, ia tidak seharusnya dilihat secara negatif. Penjanaan itu boleh mewujudkan ruang fiskal yang lebih besar untuk diagihkan semula kepada perkara yang lebih memerlukan, termasuk bantuan kepada pelajar.

“Persoalan penting ialah sama ada penjanaan melalui program pendidikan dilaksanakan sehingga menjejaskan perkhidmatan teras. Jika ia menjejaskan, di situlah garis sempadan perlu ditetapkan,” katanya.

Forum yang dikendalikan moderator Finaz Yunus itu membincangkan isu program saluran terbuka, akses kepada pendidikan tinggi serta kemampanan fiskal universiti awam.

BBerkaitan

Latest articles