SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan membuka tiga kertas siasatan baharu, termasuk satu membabitkan dakwaan sogokan kepada pengundi yang dipercayai berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sepanjang tempoh berkempen bermula 18 hingga 28 Julai, polis menerima sebanyak 62 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dan telah membuka 19 kertas siasatan bagi pelbagai kesalahan.
Menurutnya, antara kes yang sedang disiasat ialah dakwaan cubaan menyogok pengundi di bawah Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Siasatan itu dimulakan susulan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun semalam. Pengadu mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan seorang calon parti mendapat maklumat mengenai individu tidak dikenali yang dipercayai akan mengagihkan wang kepada ‘pengundi putih’ sebagai sogokan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain kes berkenaan, Alzafny berkata, polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerosakan harta benda.
Katanya, satu lagi siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan itu melibatkan penyebaran kandungan berunsur hasutan serta maklumat berkaitan pilihan raya di media sosial yang dipercayai boleh mengganggu ketenteraman awam dan melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan polis menerima 76 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik sepanjang semalam, dengan kesemuanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 638 permohonan permit diterima sepanjang tempoh berkempen bermula 18 Julai hingga 28 Julai, dengan 612 daripadanya telah diberikan kelulusan.
“Polis akan terus memantau setiap ceramah dan aktiviti politik yang diluluskan bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang, selain menjamin keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan berlangsung,” katanya.










