Malaysia Desak Myanmar Beri Penjelasan Dakwaan Ratusan Rakyat Ditahan Tentera

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meminta penjelasan daripada kerajaan Myanmar berhubung laporan dakwaan ratusan rakyat negara itu yang dihantar pulang dari Malaysia ditahan oleh tentera sebaik tiba di negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan mendapatkan kepastian mengenai laporan bahawa kira-kira 300 individu masih berada dalam tahanan tentera Myanmar.

Beliau berkata, Kementerian Luar akan mengarahkan kuasa usaha sementara Malaysia di Myanmar menyiasat dakwaan berkenaan bagi memastikan keadaan sebenar yang berlaku.

“Jika terdapat laporan bahawa 300 orang masih ditahan, kita akan meminta penjelasan daripada kerajaan Myanmar,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai tindakan kerajaan susulan laporan penahanan rakyat Myanmar yang dihantar pulang baru-baru ini.

Portal berita Myanmar, Democratic Voice of Burma, pada 22 Oktober lalu melaporkan lebih 400 penduduk etnik Rakhine masih ditahan tentera di Yangon selepas dihantar pulang dari Malaysia.

Mohamad berkata, kerajaan Myanmar sebelum ini memberikan jaminan bahawa keselamatan mereka akan terpelihara.

Pada 4 Oktober lalu, seramai 1,476 warga Myanmar tiba di Yangon menggunakan tiga kapal tentera laut negara itu menerusi inisiatif penghantaran pulang dan pendaftaran yang dipersetujui kedua-dua negara.

Sebanyak 3,524 lagi warga Myanmar dijadual dihantar pulang dalam fasa kedua program berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata beliau sudah dua kali menjemput Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, untuk melawat Malaysia, namun tarikh lawatan masih belum ditetapkan.

Menurutnya, Abbas menghargai sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Beliau turut mempertimbangkan untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan jemputan rasmi kepada pemimpin itu.

Menyentuh isu jerebu rentas sempadan, Mohamad mempertahankan pendekatan diplomasi Malaysia dalam menangani masalah berkenaan dengan Indonesia.

Katanya, Malaysia tidak mahu tindakan mengkritik secara terbuka menjejaskan hubungan dua hala yang turut merangkumi pelbagai kerjasama penting.

Beliau berkata, hubungan Malaysia-Indonesia secara keseluruhannya berada pada tahap baik dan isu jerebu perlu ditangani tanpa mengorbankan hubungan lebih luas antara kedua-dua negara.

Awal bulan ini, beliau menegaskan Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik serta mekanisme ASEAN bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, Mohamad mendedahkan banyak bangunan diplomatik Malaysia di luar negara sudah berusia dan memerlukan kerja pembaikan, malah terdapat premis yang terlalu daif sehingga menjejaskan imej negara.

Beliau berkata, Kementerian Luar diperuntukkan RM225 juta bagi pembangunan pada tahun depan untuk melaksanakan 21 projek.

Daripada jumlah itu, 18 projek merupakan projek sambungan, manakala tiga lagi ialah projek baharu.

BBerkaitan

Latest articles