Pahang Pertimbang Agih 10,000 Topi Keledar Berkualiti Kepada Anak Muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang mempertimbangkan pengagihan 10,000 topi keledar berkualiti kepada golongan anak muda di negeri ini menerusi Belanjawan Pahang yang akan dibentangkan pada akhir November atau awal Disember depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan itu antara maklum balas yang diterima kerajaan negeri ketika sesi libat urus bagi menyediakan belanjawan berkenaan.

Menurutnya, golongan muda berharap kerajaan negeri menyediakan topi keledar yang berkualiti dan bermutu, bukannya sekadar untuk memenuhi keperluan asas.

“Antara maklum balas yang saya dapat ketika ini semasa kita membuat persediaan untuk membentangkan belanjawan, kita dapati anak-anak muda minta supaya kerajaan negeri menyediakan topi keledar.

“Mereka kata, topi keledar ini jangan yang mereka pakai sekarang. Kalau kerajaan bagi yang macam itu, mereka akan simpan dalam almari. Mereka nak yang berkualiti dan bermutu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Muhammad Fakhriman Azmi, pada program Town Hall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian, malam tadi.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengambil kira aspirasi golongan muda itu dan akan mempertimbangkan permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan cadangan tersebut turut mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan Pahang yang akan datang akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu kepentingan dan kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi serta masa depan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak melalui sesi libat urus dan perbincangan sebelum memuktamadkan perancangan belanjawan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan peruntukan kepada koperasi masjid daripada RM600,000 kepada RM1 juta bagi tahun depan.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mengikuti pembentangan Belanjawan Pahang yang dijangka berlangsung pada akhir November atau awal Disember ini, dengan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.

BBerkaitan

Latest articles