MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubarkan dalam masa terdekat, dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberi bayangan perkara itu mungkin berlaku pada penghujung bulan ini.
Ab Rauf berkata, tempoh sebelum pembubaran DUN kini hanya berbaki kira-kira dua kali Jumaat, berbanding jangkaan awal yang beliau nyatakan sebelum ini.
Menurutnya, proses pembubaran itu tidak lagi mengambil tempoh yang panjang.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertam Ulu, di sini, seperti dilaporkan Berita Harian.
Perkembangan itu hadir ketika tekanan semakin meningkat supaya kerajaan negeri menetapkan tarikh pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sehari sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa Ab Rauf supaya tidak menangguhkan pengumuman berhubung pembubaran DUN.
Menurut Zahid, keputusan berkenaan perlu dibuat dalam tempoh yang munasabah bagi memberi ruang kepada rakyat, khususnya golongan muda, menentukan hala tuju serta masa depan negeri itu menerusi pilihan raya.
Gesaan tersebut sekali gus menguatkan spekulasi bahawa PRN Melaka mungkin diadakan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Zahid turut memberi bayangan bahawa kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan diteruskan bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai sebahagian daripada ‘gelombang biru’ yang didakwa mendapat perhatian dalam kalangan pengundi, termasuk golongan muda.
Katanya, perkembangan itu perlu diambil kira dalam menentukan strategi BN menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Bagaimanapun, pada 31 Ogos lalu, Zahid menegaskan sebarang keputusan mengenai kerjasama BN dengan mana-mana gabungan bagi menghadapi PRN Melaka hanya akan dibuat selepas DUN negeri itu dibubarkan.










