AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka berjaya melaksanakan 96 daripada 103 inisiatif yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 hingga 2026.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, baki tujuh inisiatif lagi telah dilaksanakan, namun sebahagiannya masih memerlukan tindakan susulan.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pencapaian itu membuktikan kerajaan negeri pimpinan BN bukan sekadar menabur janji, sebaliknya berusaha menunaikan komitmen yang diberikan kepada rakyat.
“Ini bermakna, tiada satu pun direkodkan sebagai belum dilaksanakan.
“Inilah rekod kita bentangkan untuk dinilai kepada rakyat. Kita tidak mahu sekadar bercakap tentang apa yang kita janjikan, tetapi kita berani menunjukkan apa yang telah kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, rakyat berhak mengetahui sejauh mana janji yang dibuat kerajaan telah ditunaikan sepanjang tempoh pentadbiran.
Menurutnya, pencapaian berkenaan menjadi asas kepada BN untuk terus mendapatkan kepercayaan rakyat pada PRN Melaka akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Melaka merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM14.8 bilion pada 2025, iaitu pencapaian tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negeri itu perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan, kebajikan dan pembangunan ekonomi tempatan.
“Jangan kita berbangga dengan angka. Apatah lagi makna pelaburan kalau anak Melaka masih susah mencari pekerjaan. Apalah guna ekonomi berkembang kalau peniaga kecil tidak merasakan impahannya.
“Sebab itulah, bagi saya, pertumbuhan ekonomi mesti membawa nilai, pembangunan mesti memberi manfaat dan manfaat itu mesti disampaikan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM95.5 juta bantuan kebajikan disalurkan sepanjang 2021 hingga September 2026, membabitkan 42,521 penerima.
Selain itu, katanya, program perumahan Melaka Rumahku turut menyediakan bantuan pemilikan rumah dan pembinaan rumah baharu, manakala hampir RM200 juta diperuntukkan bagi dana pendidikan yang memberi manfaat kepada kira-kira 140,000 anak muda di negeri itu.
Dalam sektor pelancongan, Ab Rauf berkata, Melaka menerima 15.93 juta pengunjung sepanjang 2025 dengan hasil pelancongan berjumlah RM14.92 bilion.
Beliau turut menegaskan bahawa PRN Melaka kali ini perlu berlangsung dalam suasana harmoni tanpa fitnah, kebencian dan politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Bumi Melaka bukan bumi fitnah, bumi Melaka bukan bumi politik kebencian dan bumi Melaka bukan bumi politik jahat.
“Kita menjalankan urusan dalam keadaan yang begitu harmoni, menjalinkan silaturahim dengan semua orang agar kita dapat membina Melaka yang begitu santunnya kepada rakyat negeri Melaka,” katanya.
Mengulas kecekapan pentadbiran negeri, beliau berkata, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat yang dilaksanakan di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima 5,170 aduan, dengan 3,820 daripadanya berjaya diselesaikan.
Katanya, kerajaan negeri turut mencatatkan penjimatan RM17.5 juta setahun menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan urusan pentadbiran.
Sehubungan itu, Ab Rauf menyeru seluruh jentera BN supaya memperkukuh gerak kerja bagi memastikan slogan ‘Melaka Sayang Rakyat’ diterjemahkan melalui pendekatan ‘Barisan Nasional Sayang Rakyat’.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan petugas parti yang terus memberikan khidmat serta komitmen kepada BN, termasuk mereka yang tidak lagi memegang jawatan.
Menurutnya, kesetiaan dan pengorbanan petugas akar umbi menjadi kekuatan penting parti dalam menghadapi cabaran pilihan raya.
Beliau berkata, proses pengenalan calon bagi PRN Melaka juga akan menyaksikan sebahagian wakil rakyat meneruskan khidmat, manakala yang lain mungkin menerima amanah baharu atau memberi laluan kepada calon lain.
“Lumrah dalam perjalanan perjuangan, akan ada yang meneruskan khidmat, akan ada yang menerima amanah baharu dan akan ada juga yang memberi laluan.
“Kepada seluruh wakil rakyat yang telah berkhidmat dan pemimpin terdahulu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta bakti yang telah dicurahkan,” katanya.










