Kedudukan Shuhaily Diurus KSU, KSN – Saifuddin

KULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berhubung kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain, kepada Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk ditangani mengikut peraturan pentadbiran awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedua-dua pihak sedang menguruskan perkara itu berdasarkan prosedur serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Hal berkenaan sedang diuruskan antara ketua setiausaha di kementerian saya dan ketua setiausaha negara.

“Sebab pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2026 di Kampung Melayu Sedenak, hari ini.

Mengulas kritikan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa beliau gagal menjadi orang tengah dalam kemelut membabitkan AKPS dan polis, Saifuddin berkata beliau menerima teguran itu dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, beliau membidas dakwaan berkenaan dengan mempersoalkan kemampuan pemimpin pembangkang menjadi pendamai ketika parti mereka sendiri berdepan perpecahan, termasuk konflik antara kem yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pendekatan Saifuddin dalam menangani isu berkenaan dan menggesa penyelesaian secara kekeluargaan, selain berharap tindakan terhadap Shuhaily dapat ditarik balik ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan Dirman.

Kejadian itu didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

BBerkaitan

Latest articles