Zahid Bayangkan ‘Terowong Cahaya’ Ke Putrajaya Menerusi Kerjasama UMNO, PAS

AYER KEROH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kerjasama politik antara UMNO dan Pas mampu membuka laluan ke Putrajaya sekiranya persefahaman yang terjalin dapat diperkukuh.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama itu memerlukan kedua-dua pihak menerima antara satu sama lain serta saling membantu dalam menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, perubahan dinamika politik semasa menuntut UMNO menyesuaikan langkah dengan realiti baharu, termasuk menjalin persefahaman dengan parti yang sebelum ini dianggap sebagai pesaing.

“Hijau telah menerima biru. Biru mesti terima hijau.

“Di mana kita bertanding, di mana calon kita bertanding, insya-ALLAH pengundi-pengundi mereka akan mengundi dan pangkah calon kita. Begitu juga di mana mereka bertanding, jentera dan pengundi-pengundi kita mesti membantu mereka.

“Insya-ALLAH, jika keserasian ini dapat kita jalin, saya yakin Putrajaya semakin cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional (BN) Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, persefahaman politik yang dicapai di Melaka bersama Pas dan rakan strategik lain perlu diperkukuh menerusi semangat tafaahum siyasi atau persefahaman politik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama berkenaan tidak bermaksud UMNO perlu mengorbankan prinsip dan dasar perjuangan yang selama ini dipertahankan parti itu.

“Persefahaman ini bukan lesen untuk kita menggadaikan prinsip yang selama ini kita pertahankan. UMNO kekal dengan dasar perjuangannya.

“Begitu juga saya yakin rakan-rakan dalam MCA, MIC, PBRS, Friends of BN dan parti komponen lain akan kekal sebagai tonggak penting Barisan Nasional dengan identiti masing-masing,” katanya.

Menurutnya, perpaduan ummah yang dibina menerusi kerjasama itu bertujuan mewujudkan kestabilan politik, memajukan Melaka dan negara serta membela seluruh rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu yakin bahawa kerjasama politik secara automatik menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Sebaliknya, beliau berkata, kemenangan hanya boleh dicapai menerusi usaha bersama, gerak kerja tersusun dan komitmen seluruh jentera parti untuk mendekati pengundi.

“Jangan kita rasa selesa kerana dengan perkiraan A campur B, kita boleh menang dengan selesa. Ia tidak sekalipun menjanjikan kemenangan dan kemenangan hanya boleh wujud sekiranya kita bersama-sama bekerja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera BN supaya mengekalkan pendekatan berkempen secara berhemah dan tidak terjebak dengan penyebaran fitnah bagi meraih sokongan rakyat.

Katanya, BN perlu terus berpegang kepada prinsip menunaikan janji dan memastikan setiap komitmen yang diberikan kepada rakyat dilaksanakan.

Ahmad Zahid turut menyuarakan keyakinan terhadap peluang BN pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini, namun menegaskan semua pihak perlu terus bekerja keras sehingga hari pengundian.

BBerkaitan

Latest articles