Mengapa Kamal Hisham Jadi Sasaran Kecaman? Hassan Tampil Pertahan Peguam

KUALA LUMPUR: Mengapa peguam Kamal Hisham menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial sehingga latar belakang peribadi dan kes lamanya kembali diperkatakan, sedangkan tugasnya hanya mewakili anak guam?

Persoalan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang menggesa orang ramai menghentikan serangan terhadap Kamal, peguam yang mewakili dua pegawai polis Cawangan Khas dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain.

Hassan yang juga seorang peguam menegaskan, hak mendapatkan khidmat guaman perlu dihormati tanpa mengira jenis pertuduhan yang dihadapi seseorang.

Beliau turut mempersoalkan tindakan mengungkit kisah silam Kamal seolah-olah perkara itu membuktikan peguam berkenaan tidak berwibawa dan tidak berintegriti.

Hassan mendedahkan beliau pernah mewakili Kamal dalam kes berprofil tinggi kira-kira 11 tahun lalu yang membabitkan pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurutnya, Kamal akhirnya mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mengikut Akta Syarikat dan didenda RM30,000 selepas menjalani hampir dua tahun dalam tahanan reman.

Hassan berkata, beliau menasihati Kamal supaya mempertimbangkan pengakuan bersalah berdasarkan tempoh tahanan yang panjang, keadaan keluarganya dan sifat kes berkenaan.

Bagaimanapun, Kamal hanya bersetuju mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan paling ringan yang membawa hukuman denda tanpa penjara.

Hassan turut mengingatkan bahawa komunikasi antara peguam dengan anak guam dilindungi undang-undang dan tidak boleh didedahkan kepada umum tanpa persetujuan anak guam.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Peguam tampil mempertahankan pengamal undang-undang yang menjadi sasaran serangan tidak adil di media sosial.

Shuhaily pada Rabu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pegawai polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah Majistret membenarkan Shuhaily diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes.

BBerkaitan

Latest articles