PRN Johor: Pengalaman berkhidmat dengan masyarakat antara kriteria utama calon BN – Hasni

Pengalaman bersama dan berkhidmat untuk masyarakat, adalah antara kriteria utama dalam memilih calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata aspek tersebut amat penting, supaya calon berkenaan apabila dipilih sebagai wakil rakyat kelak, boleh menjadi pentadbir yang baik dalam mentadbir negeri Johor.

“Pada saya…Johor, pengalaman adalah paling penting. Kalau kelulusan melangit sekalipun tetapi kalau tidak sehari pun kita dengan masyarakat, kita tidak akan menjadi wakil rakyat yang baik.

“Kita bukan cari profesor tetapi kita nak cari wakil rakyat. Rakyat perlulah merasai kehadiran wakil-wakil rakyat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran projek Mah Sing Meridin East Erica Fasa 2, di Pasir Gudang

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai demografi atau kriteria calon-calon BN untuk PRN itu.

Bagaimanapun, Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata demografi calon BN bagi pilihan raya negeri berkenaan, turut mengambil kira semua pandangan termasuk peringkat akar umbi parti gabungan itu.

“Kita ambil kira barisan muda, pemimpin profesional, wanita yang turut hadir dalam BN dan kita tidak lupa orang yang berpengalaman,” katanya.

Sebelum ini, Hasni dilaporkan berkata senarai penuh calon BN akan diumumkan selewat-lewatnya tiga hari sebelum hari penamaan calon, yang dijadualkan pada 26 Feb ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini