KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam menyifatkan keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abdul Mutalip Abd Rahim meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu sebagai sesuatu yang mengecewakan, meskipun menghormati hak beliau membuat pilihan politik.
Ketuanya, Hafiz Shukor berkata, setiap keputusan untuk keluar parti, khususnya selepas tidak dicalonkan semula, sepatutnya dinilai secara terbuka berdasarkan prinsip perjuangan, masa dan faktor yang mendorong tindakan berkenaan.
Menurut beliau, tindakan Abdul Mutalip meninggalkan UMNO sejurus selepas tidak lagi dipilih sebagai calon menimbulkan persoalan sama ada perjuangan politiknya selama ini benar-benar berlandaskan prinsip atau hanya bergantung kepada jawatan dan pencalonan.
“Perbezaan antara seorang pejuang dengan individu yang mengejar jawatan hanya akan terserlah apabila parti membuat keputusan yang tidak memihak kepada kehendak peribadi mereka.
“Seorang pejuang akan terus setia bersama parti walaupun tidak lagi diberikan peluang bertanding, manakala mereka yang mengejar jawatan akan mencari wadah politik baharu apabila kepentingan sendiri tidak lagi dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan.
Hafiz turut mengingatkan bahawa Abdul Mutalip sebelum ini telah diberikan pelbagai kepercayaan oleh UMNO, termasuk menjadi ADUN selama beberapa penggal dan pernah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Beliau berkata, kejayaan yang diraih seseorang pemimpin bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya didokong oleh ribuan ahli serta jentera parti yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit sepanjang kempen pilihan raya.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa alasan berkaitan prinsip hanya dibangkitkan selepas pencalonan tidak lagi diberikan, sedangkan perkara itu tidak pernah disuarakan ketika masih menikmati kedudukan dan jawatan dalam parti.
Semalam, Abdul Mutalip, 56, mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh.










