PRK Pulai, Simpang Jeram: Pilih Calon Kerajaan Perpaduan Demi Penerusan Agenda Untuk Rakyat

 

Keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak akan mengubah sebarang kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri Johor.

Perkara ini ditegaskan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan yang dibuatnya pada semalam.

“Apapun keputusan yang diperoleh dalam PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kali ini, ia tidak membawa sebarang perubahan terhadap landskap, nombor dan kedudukan politik di peringkat pusat dan negeri Johor,” katanya.

Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk para pengundi membuat pilihan yang semberono kerana rakyat masih terikat dan memerlukan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan bagi kedua-dua kawasan tersebut.

Kekalahan calon-calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di PRK tersebut memberi sentimen buruk terhadap politik kepartian dan keabsahan moral Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

”Tidak dapat dinafikan, ia bakal memberi legitimasi moral ke atas kedudukan Kerajaan Perpaduan jika calon PH yang mewakili kerajaan menang bagi kedua-dua kerusi tersebut,” tambahnya.

Sebagai Pengarah Jentera Pilihanraya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang telah membawa kemenangan terbesar untuk UMNO-BN bagi siri PRN di enam negeri pada Ogos lalu, Jalaluddin turut menegaskan bahawa UMNO-BN mahu meneruskan perjuangan pembelaan terhadap bangsa Melayu, tanpa meminggirkan permuafakatan bagi lain-lain bangsa.

Justeru, kerjasama yang terjalin antara BN dan PH melalui Kerajaan Perpaduan ini diyakini akan memberi impak yang positif terhadap kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Untuk itu, Jalaluddin memohon supaya PRK Pulai dan Simpang Jeram dapat sekali lagi diwakili oleh wakil rakyat dari Kerajaan Perpaduan.

 

BBerkaitan

Latest articles