Penolakan DAP Oleh Onn Hafiz Bukan Isu Kaum, Undi Cina BN Kekal Utuh

KOTA TINGGI: Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak dilihat sebagai faktor yang boleh menjejaskan sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian yang disuarakan Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks politik kerana ia ditujukan kepada DAP sebagai sebuah parti dan bukannya kepada kaum Cina secara keseluruhan.

Menurut beliau, BN sejak penubuhannya dibina atas kerjasama pelbagai kaum dan terus mempunyai wakil masyarakat Cina dalam gabungan tersebut, justeru dakwaan bahawa pengundi Cina akan menjauhkan diri daripada BN disifatkan tidak berasas.

“Onn Hafiz tidak menyentuh soal kaum. Apa yang beliau nyatakan adalah mengenai DAP sebagai sebuah parti politik. BN pula telah lama bergerak bersama parti-parti yang mewakili masyarakat Cina, jadi isu kehilangan sokongan pengundi Cina tidak timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jiwa Murni Madani Kementah di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, hari ini.

Mohamed Khaled mengulas persoalan yang timbul susulan ucapan Onn Hafiz ketika pelancaran jentera BN Johor baru-baru ini, apabila beliau menyatakan pendirian untuk tidak bergabung dengan DAP sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut menyambut baik hasrat mana-mana parti politik untuk menyertai saingan PRN Johor, termasuk kerjasama yang sedang diusahakan PAS bersama beberapa parti kecil serta sebuah parti baharu yang dijangka diumumkan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, penyertaan lebih banyak parti merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dan memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian terhadap pilihan yang ada.

“Dalam negara demokrasi, semua parti berhak menawarkan diri kepada rakyat. Akhirnya, pengundi sendiri yang akan menentukan siapa yang layak diberi mandat berdasarkan kemampuan dan rekod masing-masing,” ujarnya.

Menyentuh kemungkinan kemunculan parti-parti baharu memberi cabaran kepada BN, beliau menegaskan gabungan itu mempunyai pengalaman luas menghadapi pelbagai bentuk pertandingan politik dan sentiasa bersedia berdepan sebarang senario.

“Pilihan raya bukan perkara baharu bagi BN. Kita pernah melalui kemenangan dan kekalahan, namun itu tidak mengubah kesiapsiagaan kita untuk terus berdepan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles